pkns.fc

Oleh Ku Mohd Lufti

Isu pendaftaran pasukan PKNS FC dalam siangan Liga Malaysia bagi musim 2017 masih belum menemui titik noktah.

PKNS FC masih menanti kata putus daripada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk mendapatkan sokongan bagi menyertai liga M tatkala tarikh tutup pendaftaran dilanjutkan sehingga 9 Disember depan.

Setiausaha Kehormat PKNS FC Md Adi Harmizi Ariffin berkata surat rayuan sudah dihantar kepada FAS untuk mendapatkan sokongan.

Namun ia tampak berdepan sedikit kesukaran susulan kemelut yang melanda dua persatuan tersebut.

“Ini bukan pertama kali kita menghantar surat rayuan kepada FAS dan kita sedang menanti maklum balas daripada mereka…kita sangat berharap supaya isu ini dapat diselesaikan dengan positif sebelum tarikh tutup lanjutan pada 9 Dis ini,” kata Md Adi Harmizi Ariffin.

Tambah Adi lagi, PKNS FC akan terus memujuk FAS , malah mendapatkan pandangan daripada badan induk bolasepak negara, FAM.

“Kita juga akan cuba mendapatkan tempoh lanjutan seterusnya daripada FMLLP (Football Malaysia Limited Liability Partnership) untuk memastikan pasukan kita dapat bersaing dalam Liga-M 2017 memandangkan kita sudah membuat persediaan rapi termasuk menyediakan pasukan Liga Super dan juga Piala Presiden,” katanya lagi.

FMLLP yang memainkan peranan menguruskan saingan Liga-M, memberikan tempoh lanjutan kepada PKNS FC sehingga 9 Disember bagi menyelesaikan isu pendaftaran ke dalam Liga Malaysia meskipun tarikh pendaftaran pasukan untuk musim depan sudah ditutup pada Rabu.

FAS bagaimanapun tidak menyokong penyertaan pasukan PKNS FC dalam Liga-M 2017 dan perkara itu turut dimaklumkan kepada FAM dan FMLLP.

Artikel 4.1.3(I) Liga-M mensyaratkan hanya pasukan kelab yang dicalonkan dan disokong persatuan bola sepak negeri dan mematuhi peraturan FAM, layak menyertai Liga-M.

- Advertisement -