dollah.salleh

Oleh Muhammad Aiman

Selepas Kelantan, giliran Pahang pula kembali mendapatkan khidmat bekas jurulatihnya Dollah Salleh bagi membimbing pasukan itu menghadapi saingan Liga Malaysia musim baru yang bermula Januari depan.  

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu yang mengharungi musim ‘ala kadar’ bersama Perlis tahun ini, bakal dipertanggungjawabkan mengangkat semula reputasi Pahang sebagai antara pasukan elit bolasepak tempatan setelah melalui kemerosotan sejak dua tahun kebelakangan.

Dollah yang pernah membimbing Pahang selama lima musim dari 2009 – 2013, meletakkan skuad tok gajah sebagai pencabar kejuaraan dan meninggalkan pasukan itu dengan gelaran Piala Malaysia pertama selepas 11 tahun pada 2013.

Dengan Dollah memilih menyertai PDRM, kegemilangan itu diteruskan pembantunya, Zainal Abidin Hassan semusim berikutnya yang membantu Pahang mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia dan kemudiannya layak beraksi di Piala AFC setelah muncul naib juara Liga Super 2015.  

Semuanya tinggal hanya sejarah selepas Zainal juga membuat keputusan angkat kaki berhijrah ke Selangor, dan ditambah pula dengan kehilangan beberapa pemain tonggak seperti Matias Conti, Dickson Nwakaeme, R.Gopinathan, Hafiz Kamal, Khairul Azhan Khalid dan Azamuddin Akil menyaksikan Pahang mengharungi perjalanan musim yang mengecewakan sepanjang 2016.

Mereka sekadar menduduki tangga kesepuluh Liga Super dan bernasib baik untuk tidak tersingkir ke Liga Premier berikutan ‘ehsanPersatuan Bolasepak Malaysia yang menghadiahkan tiga mata percuma pada minggu terakhir liga.

Mereka juga telah dua kali menukar jurulatih tahun ini, bermula dengan Ahmad Shaharudin Rosdi (sehingga Mac) dan kemudiannya Razip Ismail sehingga akhir musim.

Menurut Dollah, dia bersedia menyahut cabaran membentuk semula sebuah skuad kompeten namun dalam masa sama berpendapat pengurusan tidak boleh mengharapkan keputusan segera.

“Dulu, kita mempunyai kumpulan pemain yang sudah menyerlahkan potensi mereka bersama skuad pembangunan kita (Shahzan Muda). Namun sejak dua tahun lalu, banyak perubahan telah berlaku dan Pahang bukan lagi pasukan digeruni, malah bernasib baik untuk kekal di Liga Super.

“Saya cuba untuk melakukan sesuatu di sini dan membina semula pasukan dengan menyandarkan kepada pemain baru dari negeri jiran. Saya telah mengenalpasti beberapa pemain tempatan yang bagus dan akan turut memantau pemain-pemain import yang berpengaruh,” kata Dollah.

Antara pemain baru yang dijangka menyertai Pahang adalah Zubir Azmi, Joseph Kalang Tie, Ahmad Nordin Alias dan Ashaari Samsudin (Terengganu) serta Muslim Ahmad dan Wan Zaharulnizam Zakaria dari Kelantan.

Selain itu mereka dilaporkan telah turut memancing pemain Felda United Ahmad Syamim Yahya, Afif Amirudin (Perlis), Nuridzuan Abu Hassan (Perak) dan penjaga gol Wan Azraie Wan The (T-Team). 

- Advertisement -