Oleh Ku Mohd Lufti

Pengakhiran tahun 2016 buat Persatuan Bolasepak Selangor diberikan dengan berita perletakkan jawatan oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memegang jawatan presiden persatuan berkuat kuasa hari ini.

Pengumuman perletakkan jawatan dibuat menerusi kenyataan media di laman sesawang rasminya.

Kecewa dengan mentaliti pengurusan FAS menjadi faktor utama Datuk Seri Azmin Ali membuat keputusan tersebut.

“Setelah hampir 2 tahun kami bersama FAS, kami tidak melihat kesediaan EXCO FAS untuk mendukung perubahan. Barisan EXCO FAS sedia ada masih kekal dengan sikap dan budaya lama – “excessive politics, old-fashioned way of doing things, over dependency on subsidy mentality”.

“Malah, sehingga kini, barisan EXCO FAS gagal mengemukakan pelan strategik untuk pengurusan bolasepak Negeri Selangor termasuk organisasi pentadbiran yang profesional sebagaimana yang disarankan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelang 2018.

“Exco FAS terus bergelumang dengan budaya politik yang tidak bertanggungjawab serta mengecewakan penyokong dan rakyat Negeri Selangor,” kata Azmin.

Beliau turut menambah akan melakukan perubahan terhadap sukan bolasepak di negeri itu dalam masa terdekat, selaras dengan kenyataannya sebelum ini yang akan melakukan rombakan terhadap pengurusan FAS.

Azmin dilantik sebagai Presiden FAS menerusi Kongres Luar Biasa pada Disember 2014 manakala Amirudin Shaari dipilih sebagai pengurus pasukan Selangor.

Drama FAS bermula apabila exco mengugut mahu menarik diri daripada Liga Super musim 2017 susulan masalah dana untuk menampung pengurusan persatuan.

Isu ini menjadi perbualan hangat apabila Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah turut campur tangan yang mengharapkan perubahan dilakukan segera bagi memulihkan keadaan FAS yang semakin tenat.

Sebelum FAS memulakan drama, Kelantan menjadi pasukan pertama yang menyuarakan hasrat untuk menarik diri daripada Liga Malaysia susulan masa yang sama.

- Advertisement -