Pulau Pinang yang semakin menunjukkan peningkatan dengan mengekalkan rekod tanpa kalah selepas lima perlawanan berada dalam gear terbaik untuk merampas kembali kedudukan pendahulu Liga Premier.

Ketua pasukan Pulau Pinang, Azmi Muslim melihat kekalahan Terengganu FC II pada minggu lalu kepada Negeri Sembilan menjadikan saingan kembali terbuka kepada semua pasukan.

Namun, dia tidak mahu dibuai perasaan terlalu yakin segalanya akan memihak kepada Pulau Pinang kerana prestasi semua pasukan berada di tahap yang sukar diramal apabila Liga Malaysia baharu sahaja bermula selepas ditangguhkan selama lima bulan.

Ditambah bertemu Negeri Sembilan yang masih segar dengan kejayaan meleburkan rekod tanpa kalah Terengganu FC II, Azmi sama sekali mengakui aksi berdepan skuad Hobin Jang Hobin di Stadium Bandaraya pada Jumaat ini pasti mencabar kepada Pulau Pinang.

“ Sebenarnya semua pasukan berpeluang jika dilihat pada kedudukan liga kerana jurang mata agak rapat dan tiada sebarang ruang untuk keciciran mata jika mahu mengejar slot dua pasukan teratas.

“ Saya memang akui selepas liga berehat tempoh hari, prestasi pada empat perlawanan lalu sudah tidak boleh jadi ukuran kerana semua pasukan seperti bermula dari bawah serta perbaiki kelemahan masing-masing.

“ Kami juga tidak boleh rasa terlalu selesa dengan apa yang kita capai dalam perlawanan lalu kerana perjalanan masih jauh dan bertemu Negeri Sembilan pada minggu ini, kami kena berwaspada dengan kemampuan mereka yang punyai ramai pemain berpengalaman.

“ Biarpun mungkin rasa seperti kekurangan kerana bermain tanpa penonton yang sentiasa menjadi tulang belakang Pulau Pinang tiap kali beraksi di Stadium Bandaraya, kami harap kelebihan beraksi di tempat sendiri tetap ada pada Pulau Pinang.

“ Komitmen yang diberikan oleh dua pemain import, Casagrande dan Endrick (Dos Santos) juga cukup mengagumkan serta pemain-pemain tempatan lain yang sentiasa bekerja keras di atas padang, ” katanya.

Pulau Pinang kini menduduki tangga kedua Liga Premier apabila meraih kemenangan 3-0 ke atas Kelantan di Kota Bharu dan telah meraih tiga kemenangan serta dua keputusan seri selepas lima perlawanan.

Selain Pulau Pinang, satu lagi pasukan yang masih kekalkan rekod tanpa kalah ialah Kuala Lumpur yang bakal bertandang ke Stadium Sultan Mohamad ke-IV, Kota Bharu bertemu Kelantan United, pada Jumaat.

Pendahulu Liga Premier, Terengganu FC II berdepan cabaran getir mengekalkan kedudukan mereka apabila bakal berentap dengan Johor Darul Ta’zim II pada Sabtu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Tiga lagi perlawanan lain yang turut berlangsung pada minggu ini ialah Sarawak United FC bertemu UKM FC di Stadium Negeri yang berlangsung pada Jumaat diikuti dua aksi pada Sabtu iaitu Selangor 2 menentang Kelantan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) manakala Perak II melawan Kuching FA di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

- Advertisement -