Almaz Ayana

Oleh Ku Mohd Lufti

Hari pertama bagi acara olahraga menyaksikan rekod dunia berusia 23 tahun, lebur di Rio dalam acara 10 000 Meter Wanita.

Atlet kelahiran Ethiopia, Almaz Ayana mengungguli perlumbaan selepas melepasi 5000 meter meninggalkan dua pelari, Tirunesh Dibaba, Vivian Jepkemoi Cheruiyot dari Kenya .

Dibaba merupakan pemegang rekod olimpik dengan catatan 29 minit 54.66 saat dilakukan ketika Olimpik Beijing 2008 manakala Cheruiyot adalah pemenang pingat gangsa di London 2012.

Daripada 37 atlet ini, tiga pelari, Almaz Ayana dari Ethopia, Vivian Cheruiyot dan, Tirunesh Dibaba antara kelompok depan yang paling pantas tatkala atlet lain mula bergelut untuk mengekalkan kelajuan selepas 5000 meter.

Tiga pelari ini terus konsisten dan saling bersaing sehinggalah di pusingan terakhir, Ayana Almaz mengejutkan Vivian dan Tirunesh apabila melakukan henjutan di 500 meter terakhir.

Tatkala pelari pelari lain seakan akan kehabisan tenaga dan hanya berlari dengan langkah kecil, Ayana semakin pantas dan memintas beberapa pelumba termasuk Vivian dan Tirunseh yang hanya mampu melihat dari jauh.

Larian Ayana yang berusia 24 tahun ini mendapat tepukan gemuruh daripada penonton yang hadir apabila beliau terus memecut dengan baki 100 meter menghampiri penamat sekaligus mencatat 29 minit, 17.45 saat.

Catatan ini sekaligus memperbaharui rekod dunia yang berusia 23 tahun, malah ramai yang beranggapan rekod 29 minit 17.45 saat yang dilakar Ayana adalah luar biasa, kerana jurang masa kira kira 14 saat adalah terlalu pantas dan mungkin bertahan jauh lebih lama berbanding rekod yang dilakar oleh Wang Junxia.

Penyertaan sulung juara dunia 2015 ini di pentas Olimpik cukup bermakna apabila memberikan emas pertama buat Ethiopia.

- Advertisement -