Oleh Muhammad Aiman
Hasrat penerjun negara, Cheong Jun Hoong meneruskan sensasi di Sukan Olimpik Rio De Janeiro lebur dalam sekelip mata apabila dia gagal melepasi pusingan kelayakan acara 3 meter papan anjal individu yang berlangsung di Pusat Akuatik Maria Lenk, pada awal pagi Sabtu.
Jun Hoong yang berganding cemerlang bersama ratu terjun, Pandalela Renong untuk menghadiahkan pingat perak bersejarah menerusi acara 10m platform seirama pada Selasa lalu, sekadar berada di kedudukan ke-21 selepas mengumpul 282.25 mata dari lima terjunan.
Untuk rekod, Jun Hoong adalah satu-satunya penerjun negara yang mengambil bahagian dalam tiga acara di Rio, sebelum ini dia turut beraksi dalam acara 3m papan anjal seirama wanita bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri namun berkesudahan di tempat kelima dari lapan pasangan.
Sementara itu, seorang lagi penerjun negara, Wendy Ng bagaimanapun bernasib baik dapat melepasi pusingan kelayakan dan mara ke separuh akhir setelah mengumpul 299.05 mata dan menamatkan cabaran di tempat ke-17 daripada 29 penerjun.
Ianya nyata kelegaan besar buat Wendy yang beraksi kali kedua di Olimpik selepas penampilan pertama di London 2012, kerana berdasarkan format pertandingan hanya 18 penerjun sahaja akan mara ke separuh akhir yang dijadual berlangsung Ahad, sebelum 12 atlet terbaik kemudiannya meneruskan cabaran di final.