Setelah 12 tahun bersama, Azhar Abdul Jalil akhirnya akan berpisah daripada pasukan IPONE Yamaha YY Pang Racing Team tahun ini.

Pelumba yang berusia 28 tahun itu telah pun meluahkan hasratnya untuk meneruskan karier perlumbaan beliau yang kini di dalam proses perbincangan dengan beberapa pasukan perlumbaan lain untuk musim 2021.

“Saya agak keberatan untuk berpisah dengan pasukan YY Pang namun saya yakin bahawa pertukaran ini akan memberi perkembangan yang positif untuk karier perlumbaan saya. Buat masa ini, saya masih di tahap perbincangan dengan beberapa pasukan yang lain” kata Azhar.

Azhar yang memulakan karier Cub Prix pada tahun 2007 menerusi perlumbaan satu-jenama Yamaha Super Series. Beliau kemudian secara rasminya menyertai barisan pelumba YY Pang Racing Team pada tahun 2010. Dalam tahun yang sama, Azhar berjaya menghadiahkan gelaran Juara Wira kepada pasukan YY Pang Racing Team.

Sejak permulaan yang begitu positif itu, Azhar dan pasukan YY Pang Racing Team telah berkembang bersama – bermula daripada kategori Wira melangkah ke CP115, CP130 dan kini kategori CP150. Pasukan YY Pang Racing Team juga telah melakar beberapa kejayaan dan meraih beberapa kedudukan podium sepanjang 12 tahun bersama.

“Kami berbangga berpeluang bekerjasama dengan Azhar selama 12 tahun. Beliau adalah seorang pelumba senior yang peramah dan tidak kedekut untuk berkongsi pengetahuan.

Bagi pihak IPONE Yamaha YY Pang Racing Team, kami ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Azhar dalam usahanya untuk terus memperkembangkan karier perlumbaannya,” kata YY Pang, prinsipal pasukan IPONE Yamaha YY Pang.

- Advertisement -