Selangor berdepan misi sukar untuk mempertahankan kejuaraan di Pusingan Pertama Kejohanan Sirkit Remaja Kebangsaan 100PLUS yang dijadualkan bermula dari 4 hingga 8 Mac ini.

Divisyen 1 terdiri daripada negeri Selangor, Kedah, Johor, Pulau Pinang dan Sabah.

Selangor memasang impian untuk muncul juara keseluruhan bagi Pusingan Pertama namun jurulatihnya, Seto Danu Kusuma mengakui mereka berdepan tugas getir.

“Kami cuba untuk mengekalkan kedudukan pertama di kejohanan ini seperti yang dilakukan pada 2019.  Tetapi untuk saingan Bawah 16 kami berdepan kesukaran kerana dua tonggak kami, Siti Nursuhaini Azman dan Muhd Adam Shaz diserap ke dalam skuad kebangsaan.

“Namun ia bukan bermakna kami sudah mengalah kerana Kok Jia Zheng antara sandaran yang diletakkan dalam acara perseorangan lelaki serta beberapa gandingan bergu lelaki dan perseorangan perempuan,” kata Danu.

Tambah pengendali kelahiran Jogjakarta, Indonesia ini juga, Johor dan Sabah dilihat sebagai pencabar utama buat Selangor dalam misi memburu kejuaraan Pusingan Pertama.

Jia Zheng hanya akan beraksi di pusingan kedua selepas mendapat ‘bye’ di pusingan pertama dan akan menanti pemenang di antara Andrew Aguwel dari Sabah dan Darrel Chew Sen Xian.

Manakala Sik Xiao Hui yang diletak dalam pilihan ke 3 / 4 dalam acara perseorangan perempuan Bawah 16 tahun akan beraksi di pusingan kedua selepas mendapat ‘bye’ dan dijangka berdepan pilihan kedua dari Johor Ler Yee Huey di pentas separuh akhir.

Persaingan dalam acara perseorangan lelaki Bawah 16 tahun Divisyen 2 dijangka bakal tertumpu di antara wakil Kuala Lumpur, Ting Weng Xuan selaku pilihan pertama dan Perak pula menurunkan King Kien Hwa yang diletak selaku pilihan kedua untuk mencabar kejuaraan.

Aksi bagi Divisyen 3 yang akan berlangsung di Putrajaya pula menyaksikan wakil tuan rumah, Muhd Dani Isyraf Razali yang diletak selaku pilihan ke 3 / 4 bakal menggalas tugas untuk menceriakan kem tuan rumah dalam acara perseorangan lelaki Bawah 16 tahun.

- Advertisement -