mas.timor

Berikut senarai 23 pemain dipanggil ketua jurulatih sementara skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee untuk kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula 6 November ini.

 Ia bagi menghadapi perlawanan keenam Kumpulan A, Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Palestin di Stadium Dura di Hebron, Palestin pada 12 November ini.

BIL NAMA UMUR POSISI PASUKAN
1 BADDROL BAKHTIAR 27 TENGAH KEDAH
2 AHMAD HAZWAN BAKRI 24 PENYERANG SELANGOR
3 CHRISTIE JAYASEELAN 29 TENGAH FELDA UNITED
4 SHAHRUL SAAD 22 PERTAHANAN FELDA UNITED
5 ADAM NOR AZLIN 19 TENGAH HARIMAU MUDA B
6 NAZIRUL NAIM CHE HASHIM 22 PERTAHANAN HARIMAU MUDA B
7 ZUBIR AZMI 24 PERTAHANAN TERENGGANU
8 ISMAIL FARUQI ASHARI 29 TENGAH TERENGGANU
9 KHAIRUL FAHMI CHE MAT 26 PENJAGA GOL KELANTAN
10 AMIRIZDWAN TAJ TAJUDDIN 29 PERTAHANAN KELANTAN
11 WAN ZACK HAIKAL WAN NOR 24 TENGAH KELANTAN
12 KHAIRULAZHAN KHALID 26 PENJAGA GOL PAHANG
13 RAZMAN ROSLAN 31 PERTAHANAN PAHANG
14 MATTHEW DAVIES 20 PERTAHANAN PAHANG
15 AZAMMUDDIN AKIL 30 TENGAH PAHANG
16 HAFIZ KAMAL 28 TENGAH PAHANG
17 IZHAM TARMIZI ROSLAN 24 PENJAGA GOL JOHOR DARUL TA’ZIM
18 S KUNANLAN 29 PERTAHANAN JOHOR DARUL TA’ZIM
19 S CHANTHURU 28 TENGAH JOHOR DARUL TA’ZIM
20 AIDIL ZAFUAN ABD RADZAK 28 PERTAHANAN JOHOR DARUL TA’ZIM
21 SAFIQ RAHIM 28 TENGAH JOHOR DARUL TA’ZIM
22 GARY STEVEN ROBBAT 23 TENGAH JOHOR DARUL TA’ZIM
23 AMRI YAHYAH 34 PENYERANG JOHOR DARUL TA’ZIM

Daripada senarai 23 pemain di atas, Kim Swee mengekalkan hampir kesemua pemain ketika skuad Harimau Malaya menewaskan Timor Leste 1-0 pada perlawanan kelima Kumpulan A di Dili, 13 Oktober lalu termasuk kapten Pahang, Razman Roslan yang ketika itu dipanggil menggantikan pemain pertahanan  Johor Darul Ta’zim (JDT), Fadhli Shas yang cedera sewaktu perlawanan persahabatan menentang Laos di Bangkok, 8 Oktober lalu.

Hanya dua pemain baharu yang dipanggil dalam senarai kali ini iaitu Gary Steven Robbat dan S Chanthuru, kedua-duanya dari pasukan JDT untuk menggantikan tempat kapten Perak, Nasir Basharudin yang mengalami kecederaan patah pergelangan tangan dan penyerang JDT, Safee Sali yang akan menjalani penggantungan satu perlawanan selepas menerima kad kuning kedua ketika bertemu Timor Leste.

Safee bagaimanapun diminta untuk melapor diri bersama skuad Harimau Malaya pada 13 November ini untuk menghadapi perlawanan ketujuh Kumpulan A bertemu UAE di Stadium Shah Alam, 17 November ini. Perlawanan ini akan berlangsung tanpa penonton.

Sementara itu, 11 pemain berikut pula diminta bersedia untuk menyertai latihan skuad Harimau Malaya bagi menggantikan mana-mana pemain di atas jika disahkan oleh doktor pasukan mengalami kecederaan.

Mereka terdiri daripada Ahmad Fakri Saarani (Kelantan), Nurridzuan Abu Hassan (Perak), Redzuan Suhaidi (Pulau Pinang), Ronny Harun (Sarawak), Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (Selangor), Badrul Hisham Morris (T-Team), Syahrul Azwari Ibrahim dan penjaga gol Farhan Abu Bakar (Harimau Muda B) serta Fazly Mazlan, Nazrin Nawi dan Mahalli Jasuli (JDT).

Skuad Harimau Malaya dijadual berlepas ke Palestin melalui Amman, Jordan pada 6 November ini.

 

KOMEN KETUA JURULATIH SEMENTARA SKUAD KEBANGSAAN, DATUK ONG KIM SWEE MENGENAI PEMILIHAN 23 PEMAIN KALI INI:

“Saya terpaksa mengetepikan nama Safee Sali dan Nasir Basharudin dalam senarai 23 pemain ke Palestin kerana Safee digantung satu perlawanan manakala Nasir mengalami kecederaan. Dua kekosongan itu akan diisi oleh S Chanturu dan Gary Steven Robbat.

 “Safee hanya akan menyertai pasukan sekembalinya kami dari Palestin pada 13 November ini untuk perlawanan menentang UAE pada 17 November.

 “Saya membuat keputusan mengekalkan 21 pemain yang lain kerana bagi saya, ini bukan masanya untuk saya mencuba atau melakukan eksperimen. Kita berada dalam situasi yang mana tidak membenarkan saya untuk melakukan banyak perubahan dalam senarai pemain.

 “Jadi berdasarkan kombinasi yang sudah ada bermula dari perlawanan bertemu Arab Saudi (8 September lalu) diikuti perlawanan menentang Laos dan Timor Leste, saya lihat keserasian di kalangan pemain bertambah baik dan pada masa sama juga, masa terlalu singkat untuk saya melakukan perubahan drastik.

 “Bagaimanapun, saya meminta supaya kesemua 11 pemain yang berada dalam senarai menunggu itu dalam keadaan bersedia kerana jika berlaku sebarang kecederaan di kalangan 23 pemain pada perlawanan Piala Malaysia pada 4 dan 5 November ini, saya boleh memanggil mereka serta merta memandangkan kita akan bertolak ke Palestin pada 6 November.

 “Senarai 11 pemain dalam senarai menunggu ini adalah mewakili setiap posisi. Begitu juga jika terdapat kecederaan atau penggantungan perlawanan selepas aksi bertemu Palestin, kemungkinan saya akan panggil pemain-pemain dari senarai menunggu ini.”

- Advertisement -