MELAKA meloloskan diri ke separuh akhir biarpun sekadar seri 0-0 dengan KUALA LUMPUR pada saingan terakhir Kumpulan Y Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak (Lelaki) ke-59 di Stadium Bukit Jalil malam ini., 

 

MELAKA merebut slot terakhir untuk menentang Pahang pada saingan separuh akhir di Padang 1, esok. 

 

Pahang, yang sebelum ini sudah pun mengesahkan kedudukan ke separuh akhir, menamatkan saingan Kumpulan X dengan kemenangan 3-2 ke atas naib juara tahun lepas,Terengganu, yang sekaligus meletakkan skuad Pantai Timur itu menjuarai Kumpulan dengan 6 mata penuh.

 

Terengganu meledak awal menerusi Fitri Saari yang menjaringkan gol peribadi kesembilan beliau pada minit ke-11 dan Tuan Muhammad Afiq Tuan Ghani (minit ke-12) manakala Pahang membalas menerusi Muhammad Idris Samad (pada minit ke-13) dan Muhammad Hafiz Mohd Zauri (minit ke-30). 

 

Muhammad Idris memastikan kemenangan mutlak Pahang dengan jaringan kedua pada minit ke-48. 

 

“Saya terapkan semangat untuk menang pada setiap perlawanan di kalangan pemain dan nyata mereka komited. Alhamdulillah tiada kecederaan dan kami bersedia untuk berdepan Melaka esok,” kata jurulatih Pahang Sufian Mohamad.

 

Satu lagi saingan separuh akhir esok akan menyaksikan ulangan perlawanan akhir tahun lepas apabila Terengganu berdepan Perak untuk merebut tempat di final.  Perak menumpaskan Terengganu pada final tahun lepas untuk muncul juara. 

 

Pengendali Terengganu K. Rajan berkata tumpuan pasukan hari ini ialah untuk menyiapkan diri sebaik mungkin untuk saingan separuh akhir esok. 

 

“Menang atau kalah tidak penting hari ini, yang utama ialah memastikan pemain berhabis-habisan esok untuk melangkah ke akhir. Hari ini saya banyak turunkan pemain SUKMA untuk beri pendedahan,” kata Rajan. 

 

Dalam pada itu, jurulatih Melaka Hazlan Hamzah pula nyata lega biarpun berkesudahan dengan seri yang sudah cukup untuk melayakkan mereka ke separuh akhir esok, menduduki tangga kedua kumpulan di belakang Perak. 

 

“Memang kami ada sedikit kelebihan hari ini kerana jelas sekali, Kuala Lumpur nampak agak keletihan selepas bermain bermati-matian menentang Perak semalam. Tapi banyak kesilapan pemain hari ini dan peluang sudut penalti banyak disia-siakan. Jadi kami akan menyiapkan diri dengan lebih baik apabila berdepan Pahang esok,” kata beliau. 

 

Final akan berlangsung pada Ahad ini jam 8.30 malam di Padang 1,  Stadium Hoki Nasional.  

 

 

JADUAL PERLAWANAN (Sabtu, 20/11/21) 

 

Lelaki

 

NHS 1: Separuh Akhir 1: Pahang mln Melaka (8.00 mlm)

NHS 2: Separuh Akhir 2: Perak mln Terengganu (8.00 mlm)

 

- Advertisement -