2016_Sukma_Games_LogoOleh Muhammad Aiman

Dua tahun lalu di Sukan Malaysia (SUKMA) Perlis, dia gagal ujian doping apabila positif  dexamethasone dan sebagai hukuman, digantung 18 bulan.

Namun, pelumba muda meningkat naik, Mohd Shah Firdaus Shahrom memilih waktu yang tepat untuk bangkit daripada igauan buruk itu apabila tampil dengan kelas tersendiri bagi memenangi pingat emas acara pecut 200m lelaki di temasya SUKMA Sarawak.

Atlet Johor itu yang merupakan rakan pelatih kepada pelumba Olimpik negara, Azizulhasni Awang di Melbourne nyata terlalu unggul buat pelumba Selangor, Mohd Shahriz Effendy apabila memenangi aksi final pada Rabu dengan keputusan 2-0.

Pingat gangsa menjadi milik seorang lagi pelumba Selangor, Mohd Fadhil Zonis yang menewaskan Mohd Khairil Nizam dari Johor.

Kemenangan buat Shah Firdaus menyaksikannya meraih emas pertama acara individu di pentas SUKMA.

“Saya memang sangat mahukan pingat emas ini dan berterima kasih kepada semua jurulatih saya yang membantu untuk sampai ke tahap ini. Menang emas di sini juga cukup berharga buat saya, saya sanggup balik dari Melbourne untuk sertai SUKMA, dan sekaligus memadam memori pahit dua tahun lalu.

“Apapun, saya masih ada lagi satu pertandingan 1km ujian masa esok (Khamis), dan ianya akan lebih manis sekiranya saya dapat lakar kemenangan berganda,” ujar atlet berusia 20 tahun itu.

Shah Firdaus hanya kembali ke dalam aksi pada Mei tahun lalu, mempamer aksi cemerlang untuk memenangi tiga pingat emas di Taiwan Cup Track International I & II pada Oktober.

Begitupun dia kembali tersisih apabila mengalami kemalangan teruk ketika perlumbaan keirin di Piala Dunia Trek di Cambridge, New Zealand yang menyebabkan tulang selangkanya patah.

Dalam pada itu, bagi kategori 200m pecut wanita, pingat emas menjadi milik pelumba Selangor Farina Shawati Mohd Adnan setelah menewaskan rakan sepasukan Nurul Alissa Mohd Azman 2-0.

Zulaikha Mat Yusoff dari Terengganu menang gangsa dengan mengatasi pelumba Perlis Nur Rozi Yanti Matrozi.  

- Advertisement -