Skuad Senior Lelaki Kebangsaan yang turun menentang Pasukan Ireland bagi aksi pertama perlawanan ujian (test match) hari ini, tewas 2-3 pada pertemuan yang berlangsung di Lisnagarvey Hockey Club.

Dua gol yang dihasilkan oleh Malaysian Tigers bermula pada minit-minit akhir suku ketiga menerusi gol padang penyerang muda negara, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dan pada suku keempat, pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim menyudahkan kelebihan pukulan sudut penalti pada minit ke-52.

Sementara pasukan Ireland membuka tirai jaringan terlebih dahulu apabila Sam Hyland mula mencatat nama selaku penjaring seawal minit kedua menerusi gol padang sebelum Conor Empey menambah satu lagi gol padang pada minit kelapan.

Tiga minit sebelum aksi sebenar berakhir, Conor Empey sekali lagi mencatat nama selaku penjaring kali ini menerusi kelebihan pukulan sudut penalti yang sekaligus menutup pertemuan hari ini dengan keputusan Malaysia tewas 2-3 kepada Ireland.

Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A Arulselvaraj menyifatkan skuad bimbingannya itu perlu melakukan kerja lebih banyak ketika berada di dalam kawasan sendiri dan perlu bertahan dengan lebih baik selain anak-anak buahnya juga perlu menggunakan kelebihan setiap pukulan sudut penalti yang diterima dengan sebaiknya.

“Saya agak kecewa sedikit dengan keputusan akhir 2-3 kerana kami mengawal permainan dengan baik dan kami dihadiahkan dengan lima pukulan sudut penalti berbanding Ireland yang hanya mendapat satu pukulan sudut penalti.

“Dari segi peluang untuk menjaringkan gol juga kami mempunyai lebih banyak peluang berbanding Ireland dan kekurangan hari ini adalah dari segi kami bertahan juga kekuatan untuk mengendalikan bola dalam kawasan kami sendiri.

“Jadi lebih banyak kerja yang perlu dilakukan dalam kawasan pertahanan kami. Kami juga perlu menggunakan sepenuhnya kelebihan pukulan sudut penalti kerana daripada lima kami hanya menjaringkan satu sementara Ireland yang mendapat satu pukulan sudut penalti, menjaringkan gol daripada kelebihan itu.

“Bagaimanapun pujian harus diberikan kepada pemain-pemain yang bangkit untuk menyamakan kedudukan 2-2, dan cara mereka bangkit untuk mendapatkan dua gol itu harus diberikan pujian”, jelasnya.

Dalam pada itu, penyerang negara, Muhammad Firhan Ashaari mahu bangkit dalam pertemuan perlawanan ujian kedua menentang Ireland dan akan memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan pada pertemuan pertama hari ini.

“Untuk aksi hari ini kami tidak dapat mencapai kemenangan pertama menentang Ireland dan minit awal perlawanan kami ada melakukan kesilapan yang menyebabkan kami dibolosi dua gol awal.

“Secara keseluruhan kami mengawal permainan dengan baik cuma kami perlu memperbetulkan setiap kesilapan yang dilakukan dan untuk aksi kedua kami akan berusaha mencari kemenangan juga bermain dengan lebih baik berbanding hari ini,” ujar Firhan.

Aksi keenam skuad negara dalam Siri Jelajah United Kingdom 2021 akan bersambung pada Khamis, 7 Oktober jam 2.30 pagi waktu Malaysia di mana ia juga merupakan Perlawanan Ujian (test match) kedua mereka menentang pasukan yang sama sekali lagi.

- Advertisement -