Malaysia membuka kempen Piala AFF Suzuki 2018 dengan langkah kanan setelah menewaskan Kemboja 1-0 menerusi jaringan tunggal Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-30.

Positif

Membuka tirai dengan tiga mata

Walaupun penyokong mungkin mengharapkan lebih jaringan terhasil, kemenangan dengan jaringan tipis satu gol sekalipun sebenarnya sudah memadai untuk menyuntik motivasi kepada para pemain menjelang aksi kedua menentang Laos pada 12 November nanti.

Menang besar atau kecil, tiga mata berjaya diraih dan moral pemain dalam keadaan cukup baik. Ia mungkin situasi berbeza andai Malaysia tewas ataupun Kemboja berjaya mencuri satu mata.

Justeru fokus kini perlu dialihkan kepada usaha mengekalkan konsistensi dan memburu kemenangan kedua.

Mat Yo hidupkan barisan depan

Usia menjangkau 32 tahun tidak menghalang Norshahrul Idlan Talaha untuk tampil dengan permainan yang meyakinkan dan memainkan peranan penting di dalam menggerakkan jentera serangan Harimau Malaya.

Bukan semata-mata kerana dia adalah penjaring gol tunggal perlawanan tetapi pemain tengah Pahang ini rajin turun naik dan ianya membantu menutup kelompongan di bahagian tengah, Dia bertindak sebagai perancang dan kerap memberi tekanan kepada pertahanan lawan, memaksa mereka melakukan kesilapan.

 

Negatif

Pertahanan tampak cukup goyah

Gandingan pemain berpengalaman Aidil Zafuan dan pertahanan terbaik Liga Malaysia Shahrul Saad di posisi pertahanan tengah dianggap sebagai kombinasi mantap tetapi mereka dilihat cukup goyah pada malam ini.

Beberapa kali tuan rumah berjaya meloloskan diri dengan mudah ke kawasan bahaya dan mengatasi perangkap ofsaid. Kemboja kelihatan cukup efektif ketika menyerang. Malaysia agak bernasib baik kerana Kemboja kurang tajam di hadapan gol.

Gandingan Akram-Syamer kurang kreatif ketika menyerang

Gandingan dua pemain tengah Malaysia, Akram Mahinan dan Syamer Kutty cemerlang ketika bertahan. Mereka banyak kali berjaya mematikan serangan-serangan Kemboja di bahagian tengah. Namun, penglibatan mereka amat terhad dalam keadaan Malaysia melancarkan serangan.

Pada separuh masa pertama, serangan-serangan banyak dimulakan oleh Norshahrul yang rajin turun ke bawah untuk mengutip bola. Separuh masa kedua, serangan-serangan Malaysia banyak bermula di bahagian sayap. Kreativiti daripada pemain tengah diperlukan lebih lagi dalam merencanakan serangan.  MUHD AIMAN 

- Advertisement -