Faiz Helmi

Oleh Muhammad Aiman

Skuad pembangunan hoki kebangsaan bimbingan Wallace Tan akan bertolak ke Queensland pada Khamis untuk menjalani latihan dan mengadakan beberapa perlawanan latihan dalam siri jelajah selama 10 hari di Australia.

Seramai 18 pemain akan menyertai jelajah ini termasuklah penjaga gol, Hafizuddin Othman yang mewakili skuad senior ketika Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-25 April lalu, selain beberapa lagi pemain remaja yang menjalani latihan bersama skuad senior seperti Najmi Farizal Jazlan, Faiz Helmi Jali, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin.

Bagi Wallace, beliau menyifatkan jelajah ini sebagai platform pendedahan terbaik untuk barisan pemain muda negara dalam masa sama dapat memberi lebih banyak pengalaman beraksi kepada pemain-pemain yang kurang mendapat peluang di dalam skuad senior.

“Kita berharap akan mendapat manfaat dari kehadiran pemain-pemain yang berlatih dengan skuad senior ini. Ini adalah jelajah ke luar negara yang pertama buat pasukan pembangunan sejak dikumpulkan awal tahun ini. Pendedahan seperti ini adalah penting sebagai persiapan menghadapi pelbagai kejohanan yang mendatang selepas ini.

Antara kejohanan utama yang akan disertai skuad pembangunan hoki negara tahun ini adalah Australian National League yang akan berlangsung di Perth, bermula 29 September depan.

 “Bermain menentang lawan yang lebih kuat dapat membantu kita mengukur kemampuan pemain kita di platform yang berbeza. Queensland mempunyai beberapa pemain terkemuka jadi kita boleh harapkan siri perlawanan berkualiti di sini yang turut boleh memberi kita gambaran awal mengenai Australian National League nanti,” ujar Wallace. 

Berikut adalah senarai penuh 18 pemain yang mengikuti Jelajah Australia ini.

Hafizuddin Othman, Zaimi Mat Deris, Aslam Hanafiah, Harmesh Singh, Shazril Irwan Nazli, Najmi Farizal Jazlan, Firdaus Omar, Faiz Helmi Jali, Amirul Aideed Arshad, Nik Mohd Aiman, Izwan Firdaus, Hafiz Zainol, Syed Muhammad Syafiq, Ashran Hamsani, Luqman Nul Hakim, Rafizul Ezry, Norsyafiq Sumantri, Hafiizhudin Zaidi.

- Advertisement -