
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datoā Sri Subahan Kamal dalam satu sidang media yang berlangsung hari ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada Skuad Senior Lelaki Kebangsaan yang berada di bawah kepimpinan Datoā Ahmad Najmi Razak selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan KHM dan Pengurus Pasukan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Datoā Mirnawan Nawawi serta Ketua Jurulatih, A Arulselvaraj.
Ucapan tahniah itu disampaikan selepas kejayaan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan yang telah berjaya untuk berada di dalam kelompok 10 pasukan terbaik dunia dalam senarai ranking Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).
Skuad Senior Lelaki Kebangsaan yang kini berada di United Kingdom bagi Siri Jelajah United Kingdom 2021 telah menamatkan empat perlawanan ujian yang turut menyumbang kepada pungutan mata bagi ranking dunia.
Perlawanan yang diatur sepanjang siri jelajah juga adalah sebagai salah satu persediaan menjelang Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2021 di Dhaka, Bangladesh yang akan berlangsung pada 14 hingga 22 Disember 2021.
āSaya selaku Presiden KHM ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pasukan Senior Lelaki Kebangsaan kerana di dalam Siri Jejalah United Kingdom 2021 yang berlangsung hampir sebulan, mereka telah melalui beberapa perlawanan termasuk perlawanan yang menawarkan mata untuk ranking FIH.
āSeperti semua sedia maklum, Malaysia kini berada di ranking ke-11 dunia dan pagi tadi dalam perlawanan ujian terakhir menentang pasukan Wales, Skuad Senior Lelaki Kebangsaan telah menewaskan pasukan Wales 3-1.
āDaripada kejayaan tersebut, untuk hari ini, ranking FIH setakat sekarang, menyaksikan kedudukan pasukan negara melonjak ke tangga ke-10 dunia. Ini adalah sesuatu yang cukup menggembirakan buat semua rakyat Malaysia dan khususnya kami di KHM.
āKali terakhir Malaysia menduduki ranking ke-10 dunia adalah pada tahun 2003/2004 sejak sistem ranking itu diperkenalkan oleh FIH pada tahun 2003.
āSaya memaklumkan berita gembira ini kerana ini merupakan satu penghormatan buat Skuad Senior Lelaki Kebangsaan yang sedang meningkat naik dan sedang berusaha untuk mengapai lebih banyak pencapaian yang tertinggi.
āSaya cukup yakin pasukan ini akan bersiap sedia sepenuhnya menjelang perlawanan Trofi Juara-Juara Asia pada Disember nanti yang juga akan turut menyumbangkan mata kepada kedudukan ranking dunia.
āPihak KHM juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datoā Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) di atas semua sokongan dan bantuan yang telah diberikan.
āUcapan terima kasih juga buat semua penaja rasmi KHM, khususnya Tenaga Nasional Berhad (TNB) di atas semua sokongan serta bantuan yang diberikan,ā jelas Datoā Sri Subahan Kamal.
Dalam perkembangan yang sama, Datoā Sri Subahan Kamal turut memaklumkan pada minggu lalu, satu Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif telah berlangsung dan satu kelulusan telah dicapai iaitu untuk menyerahkan RM10 ribu kepada semua Ahli Gabungan KHM pada minggu ini.
āWang yang kami salurkan ini adalah sebagai sokongan dan bantuan kepada setiap ahli gabungan untuk menggerakkan aktiviti-aktiviti sukan hoki di peringkat negeri masing-masing.
āDengan SOP-SOP yang telah dilonggarkan oleh pihak Kerajaan Malaysia termasuk penonton juga telah dibenarkan untuk masuk ke stadium, Ia juga sebagai penggalak kepada mereka untuk melakukan aktiviti-aktiviti hoki sama ada secara karnival, Hoki Dalam Dewan, Hoki 5ās atau liga,ā tambah Datoā Sri Subahan lagi.

Pada sidang media yang sama juga, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datoā Sri Dr. Anil Jeet Singh telah mengesahkan penyertaan pasukan yang akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2021.
Kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2021 yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 10 hingga 20 November depan akan menampilkan 14 pasukan Lelaki dan 12 pasukan Wanita bagi merebut kejuaraan edisi ke-59 bagi lelaki dan edisi keenam bagi wanita.

































