shevon-lai-jemie

Oleh Muhammad Aiman

Setelah enam tahun tanpa kejayaan besar, pemain badminton perseorangan lelaki Goh Soon Huat berputus asa untuk meneruskan komitmennya dalam acara itu sebaliknya membuat keputusan beralih angin mencuba nasib dalam acara beregu campuran.

Keputusan Soon Huat itu bermakna Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kehilangan seorang lagi pemain perseorangan tahun ini setelah terdahulu Chong Wei Feng dan Liew Darren memilih meninggalkan badan induk itu untuk bergelar pemain bebas.

Pemain berusia 26 tahun itu mengakui ia adalah antara keputusan paling sukar dibuatnya dan selepas ini dia akan bergandingan dengan Shevon Lai Jemie yang tidak mempunyai pasangan sejak Wong Fai Xin berundur pada Julai lalu.    

“Saya perlu jujur. Saya berlatih bersungguh-sungguh dan bekerja keras, tetapi ianya terlalu sukar untuk pergi lebih jauh dalam acara perseorangan. Saya tidak nampak masa depan,” kata pemain di ranking ke-43 dunia itu.

Tambah Soon Huat, “Ia (43) adalah ranking terbaik saya, jadi saya berpendapat sudah tiba masanya meninggalkan acara perseorangan. Saya tiada pilihan, tengoklah apa yang boleh saya lakukan dalam beregu campuran.”

Pencapaian terbaik Soon Huat sejak menyertai pasukan kebangsaan pada 2009 adalah muncul naib juara Grand Prix Terbuka Malaysia 2013, manakala pada tahun lalu dia melayakkan diri ke separuh akhir Terbuka Macau dan Terbuka Belanda.

Selain itu, dia juga tampil dalam dua kejohanan besar iaitu Sukan Asia 2014 dan Piala Thomas 2014 (Delhi) serta 2016 (Kunshan), namun tidak memainkan sebarang peranan penting di kedua-dua pertandingan itu.

Ironinya, Soon Huat bukanlah pemain pertama untuk beralih dari pemain perseorangan kepada beregu campuran kerana pada tahun lalu Tan Kian Meng turut membuat keputusan sama dan ketika ini sedang melalui peralihan prestasi yang cukup drastik bersama gandingannya Lai Pei Jing.

“Bermain dalam beregu campuran adalah berbeza sepenuhnya. Saya perlu merubah keseluruhan cara permainan saya, apa yang penting adalah memahami pasangan saya dengan baik. Kian Meng telah tunjukkan bahawa ianya boleh dilakukan, jadi saya juga mahu cuba melakukannya. Saya mahu lihat sejauh mana boleh saya pergi dalam tempoh dua tahun akan datang,” kata Soon Huat.

Soon Huat dan Shevon telahpun mula menjalani latihan bersama-sama sejak dua hari lalu dan akan membuat penampilan sulung di Cabaran Antarabangsa Malaysia di Sabah, bulan depan.

Sementara itu, Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen berharap keputusan berani menggandingkan Soon Huat dan Shevon akan dapat melahirkan satu lagi gandingan beregu campuran mantap selepas Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta Kian Meng-Pei Jing yang sedang menunjukkan prestasi konsisten.

“Agak sukar untuk Soon Huat berada di kelompok 20 terbaik dunia jika beraksi dalam acara perseorangan. Dia dilihat bergelut menempatkan diri di kelompok 50 terbaik perseorangan jadi kita berharap dia dapat meraih kedudukan lebih baik dalam beregu campuran dan sasaran awal adalah pasangan ini akan menempatkan diri di 20 terbaik dunia.”

- Advertisement -