hoki-mas-paki

Oleh Muhammad Aiman

Selepas tiga hari berehat dan menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca sejuk, skuad hoki remaja negara bersedia untuk membuktikan kualiti mereka apabila turun menentang Belanda dalam aksi pembukaan Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Uttar Pradesh, pada Jumaat.

Ketua pasukan, Najib Abu Hassan berkata meskipun hadir ke kejohanan ini sebagai pasukan ‘bidan terjun’ dek kegagalan Pakistan mengesahkan penyertaan, the Speedy Tigers bersemangat tinggi mahu merebut peluang ini untuk membuktikan kualiti mereka seterusnya menebus hampa di kelayakan Piala Remaja Asia, Kuantan.

“Kita datang ke sini sebagai underdog, jadi sepatutnya kita tiada tekanan. Percaya pada kebolehan diri sendiri dan bermainlah penuh semangat, penuh komitmen menentang Belanda. Tunjukkan kegarangan di atas padang, dan keputusan positif akan menyusul,” ujar Najib selepas menyaksikan juara enam kali, Jerman menewaskan Sepanyol 2-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan C, petang tadi.

Tambahnya, “Belanda mungkin tahu serba sedikit, atau mungkin juga tidak tahu langsung mengenai kita memandangkan masing-masing tidak pernah bertemu sebelum ini, jadi kita akan turun dengan pendekatan berhati-hati.

“Struktur permainan kita bergantung kepada apa pendekatan mereka dan kita perlu membina rentak permainan kita dari situ. Kita tidak boleh bermain secara terbuka dan perlu mengesan strategi mereka di awal permainan lagi.”

Selepas perlawanan menentang Belanda jam 10.30 malam (waktu Malaysia) pada Jumaat yang dijadual berlangsung dalam cuaca sejuk dengan suhu jatuh bawah 20 darjah celcius, skuad Wallace Tan akan berdepan pula dengan Mesir (11 Disember) dan Belgium (12 Disember) bagi mencari tempat ke suku akhir.

Najib bagaimanapun berkeyakinan tinggi situasi itu dapat ditangani dengan memakai lebih lapisan baju seperti mana dilakukan ketika sesi latihan.

“Kebanyakan pemain sudah biasa dengan cuaca sejuk sebenarnya kerana pernah berdepan situasi sama di Jepun, New Zealand dan Australia sebelum ini. Apa yang lebih merisaukan adalah keadaan yang mungkin berkabus. Harap ianya tidak menjadi lebih teruk nanti,” kata Najib.

Untuk rekod, rata-rata pemain yang memperkuatkan pasukan ini adalah yang membawa cabaran di Kejohanan Remaja Piala Sultan Johor bulan lalu, yang mana Malaysia berkesudahan di tempat kelima.

 

Jadual (9 Disember, Jumaat)

Kumpulan A: Australia lwn Korea, Argentina lwn Austria

Kumpulan B: Belgium lwn Mesir, Malaysia lwn Belanda

Kumpulan C: Sepanyol lwn Jepun, New Zealand lwn Jerman

- Advertisement -