sarji (3)

sarji (2)

Oleh Muhammad Aiman

Program Pembangunan Kriket Kebangsaan (NCDP) pastinya diakui telah banyak membantu di dalam mencungkil dan mengetengahkan bakat-bakat baru sukan kriket yang menyerlah sehingga mendapat tempat dalam pasukan kriket kebangsaan.

Mengambil semangat dari kejayaan berterusan dicapai melalui PPKK, Persatuan Kriket Melayu Malaysia (PKMM) yang bertanggungjawab memperkenalkan program itu dengan kerjasama Yayasan Sime Darby melaungkan kepercayaan betapa program itu boleh menyumbang kepada masa depan lebih gemilang dalam sukan kriket.  

Presiden PKMM yang juga fasilitator PPKK, Tun Ahmad Sarji berkata asas utama PPKK diperkenal adalah untuk memperkasa pembangunan sukan kriket di peringkat akar umbi seterusnya melahirkan bakat-bakat baru tanpa gagal setiap tahun dengan memberi latihan secara tersusun melalui khidmat jurulatih luar negara yang berkredibiliti tinggi.

“PPKK bermula di 31 Pusat Kecemerlangan Kriket di seluruh negara, yang mana membabitkan 20 pusat bagi bawah 12 tahun, lapan pusat kecemerlangan bagi pembangunan fasa kedua dan tiga bagi pembangunan pelajar-pelajar elit.

“Pemain-pemain kriket junior telah dihantar ke Pusat Kriket Berprestasi Tinggi di UKM dan Uitm di mana mereka akan mempunyai peluang diserap ke skuad kebangsaan dalam masa sama meneruskan pengajian tinggi sepenuh masa mereka di sana.  

“Hasil dari program akar umbi ini, seramai lebih 40 pemain telah dipilih beraksi di pentas antarabangsa menerusi pelbagai jenis latihan dikendalikan PKMM, sama ada memasuki saringan atau pool, atau mewakili pasukan kebangsaan. Dan kita berbangga untuk menyatakan hari ini sahaja ada 13 pemain yang berada dalam pasukan senior kebangsaan.

“Kita juga bekalkan lebih 70 peratus pemain kepada pasukan bawah 19 tahun negara melalui program ini, dan apabila 70 peratus daripada pemain kebangsaan adalah datangnya dari program kita, sudah tentu kejayaan mereka (Persatuan Kriket Malaysia) adalah kejayaan kita juga,” kata Tun Ahmad Sarji dalam sesi temuramah khas di Kompleks Sukan Bayuemas, Pandamaran.

Antara pemain kebangsaan yang lahir dari PPKK ialah Faiz Md Noor, Shafiq Sharif, Shahrulnizam Yusof, Fikri Makram Rosdi, Faiz Ahmad Nasir dan Faizal Abu Hassan bagi pasukan lelaki manakala bagi pasukan wanita antaranya adalah Noor Hayati Zakaria, Sasha Azmi, Nabila Nazeli dan Mahirah Izzati Ismail.  

Tun Ahmad Sarji bagaimanapun menegaskan usaha ini pastinya tidak menjadi realiti jika tidak kerana sokongan daripada YSD, yang telah menyumbang hampir RM5 juta sejak mula bekerjasama untuk mempromosikan sukan ini pada 2010.

“Banyak yang telah kita buat melalui dana yang disalurkan sejak 2010, antaranya pembelian peralatan kriket, pembiayaan kejurulatihan, sokongan akademik dan asrama di Projek Kriket Nasional, bantuan kepada pembinaan fasiliti berprestasi tinggi di UKM sehinggalah pembiayaan untuk penempatan pemain ke luar negara.

“PKMM mempunyai perancangan jangka panjang untuk majukan sukan kriket dan kerjasama dengan YSD merupakan satu suntikan dan rangka kerjasama ini sesuatu yang amat menguntungkan pembangunan sukan kriket,” jelas Tun Ahmad Sarji lagi.

Ditanya mengenai perancangan PKMM dalam tempoh terdekat, Tun Ahmad Sarji menyatakan bahawa beliau berharap agar Malaysia dapat menyertai One Day International dan juga Twenty20.

- Advertisement -