STL

Oleh Ku Mohd Lufti

Liga Sepak Takraw (STL) 2016 kembali dengan format baharu dengan setiap pasukan akan berdepan lawan masing-masing sebanyak dua kali.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail berkata, pada musim ini, hanya 14 perlawanan akan berlangsung bagi memastikan saingan itu lebih kompetitif.

Beliau berkata, STL 2016 yang akan bermula pada 23 September hingga 11 Dissember, akan disertai lapan pasukan bagi Divisyen Perdana dan 12 pasukan dalam Divisyen Satu.

“PSM sebagai sebuah badan induk, kami rasa tidak adil hanya lapan negeri ambil bahagian dalam STL. Kita buat konsep regu supaya dapat 20 regu menyertainya.

“Lapan pasukan dalam Divisyen Perdana dan 12 pasukan lagi dalam Divisyen Satu…ini boleh membawa sukan sepak takraw ke tahap yang lebih profesional,” katanya.

Ahmad berkata pemain kebangsaan yang kini berada dalam Program Podium juga dibenarkan untuk memilih sama ada mahu bermain untuk negeri ataupun kelab.

“STL juga adalah kejohanan persediaan untuk skuad kita ke Sukan SEA. Kita pastinya mengharapkan bakat-bakat baharu dapat dicungkil menjelang Sukan SEA 2017,” katanya.

Ahmad berkata PSM juga belum bersedia untuk menggunakan khidmat pemain asing dalam saingan STL.

Dalam pada itu, beliau menafikan dakwaan bahawa skuad kebangsaan kurang menyertai kejohanan terutamanya di peringkat tempatan.

- Advertisement -