Kelantan Warriors mengidam untuk meneruskan momentum kemenangan dalam saingan Sepaktakraw League (STL) Premier 2018 dengan menjadikan Penang Black Panthers sebagai sasaran terbaru.

Setelah tewas dalam aksi pembuka tirai kepada PDRM Defenders, skuad bimbingan Roslan Ismail itu menterjemahkan kebangkitan dan mencatat dua kemenangan berturut-turut dengan menewaskan Melaka Titans dan Johor Tigris sekaligus melonjak ke tangga kedua liga.

Berdepan Black Panthers yang sedang unggul menerajui liga dengan rekod bersih tiga kemenangan, Roslan percaya barisan pemainnya memiliki kredibiliti diperlukan untuk mencalar permulaan sempurna pasukan yang dibarisi dua tonggak kebangsaan Syahir Rosdi dan Azlan Alias itu.

“Ia akan menjadi minggu yang cukup mencabar buat kita kerana ada dua aksi penting menentang juara dan naib juara tahun lalu (Penang dan KL Thunder). Tetapi dari sisi positif nampaknya kita juga telah menemui semula rentak kemenangan dan saya sangat kagum melihat keyakinan diri pemain-pemain dalam dua perlawanan lalu.

“Kita berdepan masalah penyesuaian gelanggang pada mulanya dalam masa sama pemain tonggak terutama tekong Hisyam (Mat) masih bergelut mendapatkan semula sentuhan dia. Kemudian saya telah membuat sedikit pertukaran pada regu dengan menurunkan Farid (Aziz) menggantikan Hisyam dalam dua perlawanan dan ianya percaturan yang menjadi.

“Melihat kepada kerja keras dan komitmen pemain dan kembalinya Hisyam kepada prestasi sebenar saya berharap kita mampu peroleh keputusan positif walaupun saya memang akui Black Panthers sebuah pasukan kuat, tiada siapa boleh mempertikaikannya, ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar tetapi kita akan tampil berikan tentangan sengit,” kata Roslan.

Sebagai rekod, Kelantan Warriors yang turut diperkuatkan oleh apit kiri pasukan kebangsaan Aidil Aiman Azwawi serta perejam Wan Naim Izani Wan Mohd Noor tewas 1-2 dalam kedua-dua pertemuan menentang Black Panthers dalam saingan STL Premier musim lalu.

Dalam pada itu jurulatih Black Panthers, Helmi Ismail menolak tanggapan bahawa jurang kekuatan antara pasukannya dan pasukan-pasukan lain terlalu jauh berbeza mengambil kira keputusan minggu pertama yang mana Black Panthers melakar tiga kemenangan tanpa tewas sebarang set.

“Ia bukanlah kami terlalu bagus tetapi pemain-pemain saya cepat sesuaikan diri dengan gelanggang dan lebih penting menunjukkan kerjasama sepasukan yang baik, dari situ kualiti akan datang dengan sendiri. Kami perlu kekalkan konsentrasi kerana saya yakin saingan akan bertambah rancak selepas ini, sekarang semua pasukan sudah tahu bagaimana suasana di sini dan akan buat persiapan lebih rapi,” kata Helmi.  MUHD AIMAN 

Jadual STL Premier (12 Oktober, bermula 5 petang) :

ATM Guardians lwn Perak Bison
Melaka Titans lwn KL Thunder
Selangor Pistons lwn Johor Tigris
Kelantan Warriors lwn Penang Black Panthers

- Advertisement -