SEBAGAI “gudang” yang berterusan mengetengahkan atlet muda berpotensi untuk digilap dan dijulang ke peringkat lebih tinggi, SUKMA perlu terus digerakkan sebagai gelanggang kompetitif yang penting buat atlet pelapis menembusi saingan peringkat antarabangsa dan dunia. 

Bagi atlet muda, peluang beraksi dalam saingan SUKMA yang bermula sejak 1986 itu, merupakan penghormatan besar, bukan ssaja demi menabur bakti buat negeri masing-masing, tetapi juga merupakan antara “pathway” penting bagi atlet untuk mengikuti jejak wira-wira sukan negara yang telah berjaya dijulang di peringkat dunia, sebagai mana tiga lagenda sukan  negara yang tampil mewarnai majlis penutupan rasmi malam tadi — Datuk Azizulhasni Awang (berbasikal), DatukNicol Ann David (skuasy) dan wira badminton Datuk Lee Chong Wei.  

Melentur buluh biarlah dari rebungnya, demikian juga bermula dari sekolah, daerah dan peringkat negeri, badan-badan sukan negeri serta kebangsaan berperanan amat penting untuk menyumbang kepada aliran jaguh sukan yang berterusan. 

Justru, SUKMA XX MSN 2022, yang melabuhkan tirai di DECTAR, UKM semalam dan disempurnakan penutupannya oleh Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, menjadi pemangkin amat penting sekiranya negara mahu terus melahirkan ikon sukan yang berjaya di peringkat tertinggi seterusnya, merealisasikan impian dan usaha meraih emas pertama Olimpik. 

Saingan 13 hari yang bermula sejak 12 September lepas, yang dikendalikan Majlis Sukan Negara (MSN) yang mengambilalih penganjuran dari tuanrumah Johor, nyata memberikan harapan bahawa sukan Malaysia tidak ketandusan bakat-bakat dan permata sukan baru.

Sebagai badan penting memajukan sukan elit dan berprestasi tinggi, peranan MSN bagi memastikan kejayaan SUKMA XX amat penting seperti yang dinyatakan sendiri Dato’ Seri Ahmad Faizal, yang melahirkan penghargaan tertinggi terhadap agensi sukan itu di atas kejayaan SUKMA XX biarpun dalam keadaan berhati-hati kerana belum bebas sepenuhnya dari pandemik Covid. 

Ternyata, Johor, yang sebelum ini kecewa kerana terpaksa membatalkan penganjuran di laman sendiri pada 2020 akibat pandemik, memadam segala kekecewaan dengan muncul sebagai juara SUKMA buat kali pertama dalam sejarah pembabitan mereka dalam temasya berkenaan sejak 1986.

Hampir saja Johor mencipta rekod pungutan emas yang baru tetapi tidak melepasi jumlah 80 emas.

Johor meraih 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa untuk muncul juara baru SUKMA yang sebelum ini didominasi kuasa besar sukan tanahair seperti Selangor (9 kali), Terengganu, juara lima kali, Sarawak tiga kali dan Wilayah Persekutuan sebagai juara dua kali. 

Seramai 6,643 atlet bersaing sepanjang 13 hari dengan jumlah keseluruhannya termasuk pegawai dan tenaga kerja mencecah lebih 8,700 yang mendiami semua kluster penginapan. 

Temasya yang dianjurkan di 43 venue itu meliputi lima zon iaitu Zon Kuala Lumpur (8 sukan), 9 sukan di Zon Bangi, 9 sukan di Zon Bukit Jalil, Zon Shah Alam (8 sukan) dan Zon Langkawi bagi sukan pelayaran. 

Kluster penginapan yang disediakan di UKM, UiTM, Universiti Malaysia, Uniten, Dayang Bay Resort Langkawi dan Pusat Kecemerlangan Paralimpik MSN, Kg Pandan memastikan urusan logistik dan masalah-masalah berkaitan kebajikan dan keselesaan atlet dan kontinjen terjaga dan ditangani dengan baik.  

Selain itu, dari segi penyertaan atlet, SUKMA 2022 masih memberi peluang yang lebih buat atlet berusia 21 ke bawah untuk beraksi biarpun temasya kali ini membenarakan atlet bawah 23 tahun untuk bertanding gara-gara SUKMA Johor yang dibatalkan sebelum ini. 

Daripada 6643 atlet, hanya 1,233 atlet sahaja terdiri daripada mereka yang berusia antara 22 dan 23 tahun. Majoriti atau 44.76 peratus daripada jumlah atlet bertanding itu berusia antara 19 hingga 21 tahun manakala 1,970 atlet berusia antara 16 hingga 18 tahun. Seramai 475 atlete berusia 15 tahun menyertai SUKMA kali ini. 

Atlet termuda yang ditampilkan ialah Elisya Saiful Zaini dari skuad Gimnastik Berirama Negeri Sembilan, yang berusia 11 tahun 10 bulan dan 29 hari pada hari pertandingan pada 21 September lepas.

Nyata sekali, SUKMA XX tidak ketandusan bintang-bintang muda dengan pendayung Johor,Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize, 21, dan perenang Tan Rouxin berusia 16 tahun dinobat sebagai Atlet Lelaki dan Wanita Terbaik. 

Muhammad Fakhrullah memecahkan dua rekod kebangsaan bagi acara K2 500 meter (m) dengan catatan baharu satu minit 43.045 saat (s) dan K2 1000m (3:35.500s) selain meraih sembilan emas peribadi manakala Rouxin beraksi cemerlang meraih enam emas, satu perak dan satu gangsa.

Keseluruhannya, sepanjang saingan membabitkan 31 sukan itu, 21 rekod diperbaharui dengan 13 rekod baru kanu, menembak (lima), berbasikal (dua) dan akuatik (satu), sekaligus menyerlahkan kemampuan barisan pelapis negara untuk terus menjulang nama negara pula selepas ini. 

Nama-nama seperti pemegang rekod 100m negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dari olahraga, pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022, Ng Tze Yong (badminton) dan juara menembak Sukan SEA 2021, Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin, kini dianggap sebagai permata baru yang perlu terus digilap dengan program pembangunan elit yang lebih mantap. 

Sama ada di dalam atau di luar gelanggang, SUKMA XX nyata berjaya menarik minat besar terutama bagi peminat sukan, media dan juga penaja. Nyata, negara dan peminat begitu dahagakan penganjuran aksi sukan berkualiti selepas dua tahun hidup tanpa acara sukan akibat pandemik. 

Sokongan padu dari media cetak, portal sukan, platform sukan digital atau elektronik merupakan elemen signifikan yang menonjolkan profil temasya serta atlet. Ini termasuklah siaran langsung menerusi pelbagai platform media sosial termasuk jumlah tontonan SUKMA XX di Tik Tok yang mencecah hingga 38 juta tontonan.

Ia seharusnya menjadi pencetus bagi atlet terus bersemangat untuk menempa kejayaan dalam saingan-saingan lebih besar termasuk Sukan Asia 2023 dan Olimpik Paris 2024.  

Begitu juga, penyertaan secara sukarela skuad sukarelawan Malaysia, 670 orang kesemuanya yang lebih terkenal sebagai Satria Sukan Malaysia, terus menyerlahkan semangat kesukarelawanan golongan muda dari pelbagai latarbelakang dan usia. 

Kontroversi, rasa tidak puas hati, atau apa juga kekurangan dalam pelbagai aspek merupakan asam garam dalam penganjuran temasya sukan.  

SUKMA XX tidak terkecuali, seperti yang berlaku dalam insiden mengejar pengadil bolasepak, angkat berat atau protes dalam berbasikal.

Begitupun, semua ini dapat diatasi dengan persefahaman dan semangat kesukanan yang tinggi di kelangan atlet, pegawai dan kontinjen.

Dua tahun lagi, sekali lagi kontinjen dan atlet negara akan berkampung dan bersaing dalam edisi SUKMA seterusnya. Semoga negara terus melahirkan wira-wira baru yang menjadi penyambung kegemilangan sukan tanahair untuk tahun-tahun mendatang. 

- Advertisement -