Sin Li Jane
Sin Li Jane

Oleh Muhammad Aiman

Atlet boling negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi tampil dalam kelas tersendiri untuk mencipta sejarah buat Malaysia dalam penampilan pertamanya di Jelajah Persatuan Boling Wanita Professional (PWBA), Amerika Syarikat apabila melangkah bergaya ke final stepladder Terbuka Wichita.

Atlet berusia 24 tahun kelahiran Perak itu menceriakan kem negara dengan aksi bertenaga apabila melakar jatuhan sempurna 300 pin untuk menewaskan Diana Zavlajova dari Latvia yang sekadar melakukan 209 jatuhan dalam aksi play-off Kumpulan A di Northrock Lanes.

Syaidatul akan disertai atlet tuan rumah yang juga juara Piala Dunia dua kali, Shanon Pluhowsky yang menundukkan seorang lagi atlet negara, Sin Li Jane 228-276 dalam aksi play-off Kumpulan B, serta Danielle McEwan dan Maria Jose Rodriguez di final stepladder PWBA yang akan berlangsung 26 Jun depan di Green Bay, Wisconsin.

Untuk rekod, Terbuka Wichita adalah persinggahan kedua dalam jelajah sebulan PWBA selepas Kejohanan Queens USBC yang berlangsung dari 25-28 Mei lalu manakala dua destinasi seterusnya adalah Terbuka Lincoln di Debraska (9-12 Jun) dan Terbuka Detroit di Michigan (16-19 Jun).

Selain Syaidatul dan Li Jane, pasukan wanita negara turut diwakili enam atlet lain iaitu Esther Cheah, Sharon Koh, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Natasha Roslan, Nur Syazwani Sahar dan Nora Liyana Nastasia Norkamal dan mereka dijadual bertolak pulang ke tanah air setelah berakhir Terbuka Detroit pada 19 Jun.

“Ianya perasaan yang bercampur baur buat saya untuk tinggal seminggu lagi di sini berbanding kawan-kawan lain, tetapi ianya cukup mengujakan untuk saya mara ke final pertama saya dalam jelajah PWBA.

“Ianya bagaikan mimpi menjadi kenyataan, saya selalunya menyaksikan jelajah PWBA hanya melalui streaming online, tetapi hari ini saya adalah sebahagian daripadanya,” ujar Syaidatul.  

Menerusi kejayaan mara ke final stepladder, Syaidatul sudahpun dijamin hadiah wang tunai US$3,000 (RM12,250), dengan pemenang akan beroleh ganjaran lumayan US$5,000 (RM20,410).

- Advertisement -