rahmad-darmawan.6

Oleh Muhammad Aiman

Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan membawa pasukannya ‘pulang’ ke Indonesia bagi menjalani latihan pra-musim selama 10 hari meskipun masa depan beberapa pemain terutamanya import masih dalam ketidakpastian.  

T-Team dijadualkan bermain empat perlawanan persahabatan menentang kelab Liga Premier Indonesia di Jakarta dan Bandung, dan bekas jurulatih kebangsaan Indonesia itu turut menyenaraikan dua pemain import, Makan Konate dan Abdoulaiye Maiga yang masih belum menandatangani kontrak lanjutan.

Selain itu, Rahmad turut membawa dua pemain import baru, Dorje Kouemaha dari Cameroon dan Pavel Smolyachenko dari Uzbekistan untuk diuji, dan menegaskan keputusan muktamad mengenai pemain import hanya akan dibuat selepas pulang dari Indonesia.

“Walaupun Makan dan Abdoulaiye bersama skuad, kedudukan mereka masih belum terjamin. Memang mereka telah beraksi baik dan membantu pasukan layak ke separuh akhir Piala Malaysia, tetapi mereka masih perlu diuji kerana kami tidak mahu menandatangani pemain yang cedera.

“Kita juga membawa dua lagi pemain baru kerana kita sedang mencari pemain import bagi posisi tengah dan serangan. Diharap mereka akan berjaya menunjukkan aksi impresif dan memikat kita dalam aksi persahabatan nanti,” ujar jurulatih berusia 50 tahun itu.

Musim lalu, T-Team menamatkan saingan Liga Super di tangga ketujuh namun mencuri tumpuan di saingan Piala Malaysia apabila melangkah sehingga ke peringkat separuh akhir sebelum kecundang kepada Selangor.

Kejayaan itu menyaksikan beberapa pemain tonggak mereka dipancing pasukan lain termasuklah bintang muda meningkat naik, Safawi Rasid yang akan menyertai Johor Daul Takzim, Ilham Amirullah (Felda Utd), Wan Azraie Wan Teh (Pahang), Asrol Ibrahim (Terengganu) dan Izzaq Faris Ramlan (Melaka).

Manakala antara pemain baru yang akan memperkuatkan skuad The Titans adalah Fakhrurazi Muda (Terengganu), Muhd Fauzi Abdul Kadar (MISC MIFA), Hafiz Romly (DRB Hicom) dan Suhaimi Hussin (Hanelang) serta enam pemain dari skuad Piala Presiden.

- Advertisement -