Kejohanan bola sepak ASEAN, yang umpama mahkota permata untuk setiap pasukan kebangsaan dari Asia Tenggara, akan menyambut ulang tahun ke-30 pada Julai dan Ogos, tahun depan.

Kejohanan yang kini dinamakan ASEAN Hyundai Cup™ 2026, sempena penaja utama yang baru, bakal menyaksikan 11 pasukan ternama merentasi rantau ini akan bertarung memburu gelaran berprestij itu.

Edisi 2026 ini juga akan menyaksikan ahli persatuan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) itu bertembung buat kali ke-16 untuk dimahkotakan sebagai juara sejak kejohanan pertama yang diperkenalkan di Singapura pada 1996.

Peneraju mobiliti pintar global, Hyundai Motor Company akan menaja kejohanan ini buat pertama kali.

Juara bertahan, Vietnam akan kembali untuk mempertahankan gelaran mereka selepas menewaskan Thailand 5-3 di atas perkiraan agregat dalam perlawanan akhir, tahun lalu.

Undian rasmi bagi Hyundai Cup™ 2026 akan diadakan pada tahun depan apabila satu tarikh diumumkan nanti.

Perlawanan ‘play-off’, bagi menentukan senarai terakhir pasukan untuk saingan Peringkat Kumpulan, akan diadakan secara format timbal-balik pada 2 dan 9 Jun, tahun depan.

Peringkat Kumpulan membabitkan 10 pasukan itu akan bermula pada 24 Julai sehingga 8 Ogos, tahun depan berasaskan format liga satu pusingan merentasi wilayah manakala pusingan kalah mati secara timbal-balik akan bermula pada 15 Ogos dan berakhir pada 26 Ogos depan.

Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth berkata: “ASEAN Hyundai Cup™ adalah kejohanan bola sepak antarabangsa paling unggul di Asia Tenggara.

“Kami amat gembira untuk mengesahkan tarikh bagi edisi berikut kerana kejohanan ini akan menyambut ulang tahun yang ke-30. Ia satu pencapaian penting yang benar-benar bermakna  dalam proses kemajuan bola sepak rantau ini.

“Kami juga menghargai semua penyokong merentasi rantau ini yang menunjukkan minat yang berterusan dan dedikasi sejak kejohanan ini diperkenalkan pada 1996.

“Kami teruja mahu memberi rasa penghargaan kepada warisan milik Hyundai Cup™ yang telah mencapai satu tahap pengiktirafan tinggi bersama jutaan penyokong ASEAN dan juga rakan penaja utama baru kami, Hyundai Motor Company.

“Di sini kita semua menyambung perjalanan untuk mengangkat tahap kejohanan ini kepada satu pertandingan antarabangsa yang besar dan penting dan ketika sama memantapkan lagi kuasa legasi untuk beberapa dekad akan datang.”  

Presiden Hyundai Motor Asia Pasifik, Sunny Kim berkata: “Di Hyundai, kami mempercayai bahawa bola sepak adalah lebih daripada sukan. Ia sebenarnya adalah platform kuat yang menyatu dan memperkasakan komuniti. Ia mencerminkan visi kita ke arah ‘Kemajuan bagi Kemanusiaan’.

“Berbekal legasi bola sepak global selama 26 tahun, Hyundai berbangga untuk menjadi rakan AFF sebagai penaja utama Hyundai Cup™, yang juga menandakan sambutan ulang tahun ke-30 di atas kejayaan legasi dan kemajuan.

“Dengan pengumuman pada hari ini, Hyundai akan mengambil satu lagi langkah dalam misinya untuk mencipta satu impak yang melangkaui mobiliti. Ia adalah dengan menggunakan kuasa bola sepak untuk menyatukan serta menyuntik inspirasi kepada jutaan peminat merentasi ASEAN.

Ikutilah perkembangan terkini Hyundai Cup™ 2026 dan kejohanan ASEAN United FC lain di https://aseanutdfc.com/ dan @aseanutdfc di Instagram, Facebook, TikTok, YouTube, X dan Linkedin.

- Advertisement -