Selepas dua aksi di pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23, peminat bolasepak tempatan mungkin sudah boleh berpijak di bumi nyata dan menerima hakikat betapa masih banyak lagi perlu dilakukan skuad negara untuk berdiri sama tinggi dengan pasukan gergasi Asia yang lain.

Bangkit mengikat Jordan selepas kecundang 1-4 kepada Iraq, tidak dinafikan satu keputusan yang baik di dalam menghidupkan peluang ke suku akhir.

Tidak salah untuk berpemikiran positif dan mengharapkan pasukan negara dapat menepis segala cakap-cakap yang mempertikaikan kemampuan mereka dan seterusnya melakar kejutan melangkah lebih jauh namun usahlah meletak harapan terlalu tinggi.

Tepuk dada, tanya diri sendiri, katakan dengan jujur, Malaysia belum ada kredibiliti untuk dilabel salah satu pasukan pencabar terkuat di pentas Asia. Kita seharusnya menjadi sebutan dan membuka mata ramai dek kerana kualiti dan prestasi, dan usaha untuk meningkatkannya perlu diteruskan.

Kita mengharapkan perlawanan menentang Arab Saudi pada 16 Januari nanti, skuad muda negara dapat menyerlahkan kualiti dan seandainya berjaya mencipta kejutan ke atas negara Timur Tengah itu, biarlah ianya kerana kita sememangnya layak untuk menang dan beraksi dengan lebih baik, bukannya kerana faktor nasib.

Peminat-peminat juga pastinya mahu sekali lagi melihat magis pemain berusia 18 tahun, Akhyar Rashid yang semakin hari semakin mencuri tumpuan. Pemain muda Kedah itu mempamer aksi berani dan memukau dalam dua perlawanan awal.

Ketika menentang Iraq dia melakukan ‘assist’ kepada Safawi Rasid dan lebih menyerlah ketika menentang Jordan, kerap mengancam benteng pertahanan lawan, melakukan percubaan yang terkena tiang dan berjaya mendapatkan penalti yang disempurnakan Safawi sehingga ramai melabelnya sebagai ‘Neymar’ Malaysia.

Dengan usianya yang masih muda, pemain itu seharusnya diberi galakan untuk berkelana mencari ilmu dan pengalaman, mendapatkan pendedahan dalam sebuah liga yang jauh lebih baik dari Liga Malaysia seperti di Korea dan Jepun.

Adalah dikhuatiri bakatnya tidak akan berkembang dan sekadar menjadi ‘jaguh kampung’ andai dia membuat keputusan sepertimana seniornya yang lain – menolak beraksi di luar kerana tawaran gaji rendah.

Akhyar disifatkan sebagai satu dalam sejuta, dia memiliki masa depan yang cerah dan apa yang pasti tempatnya jelas bukan di Liga-M. Kalau kekal bersama Kedah sekalipun adakah dia akan mendapat peluang yang secukupnya?

Kita sudah selalu mengimport pemain-pemain dari Indonesia dan Singapura untuk bermain di sini, malah sekarang Kemboja juga sudah menapak di sini. Kenapa tidak untuk kali ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggunakan sebaiknya hubungan baik dengan negara kuasa besar seperti Jepun (Asia) atau Sepanyol (Eropah) untuk membentuk satu kerjasama dan menghantar Akhyar bermain di sana sama ada sebagai trialist, berkontrak mahupun ‘attachment’?

Jika benar Akhyar mahu mengembangkan kariernya, dia perlu berani menyahut cabaran serta mengetepikan segala alasan tipikal dan klise yang sudah selalu kita dengar – Fakri Saarani, Wan Zack Haikal dan Nazmi Faiz boleh disifatkan sebagai generasi yang gagal. 

Semoga Akhyar terus mengorak langkah, penyokong sudah lama ‘merindui’ untuk melihat kelibat pemain negara bermain di negara luar khususnya Eropah dalam satu tempoh panjang sejak berakhirnya era Akhmal Rizal Ahmad Rakhli, Juzaili Samion dan Fadzli Shaari. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -