RWGPL-Logo-VMuar City BC tampil dengan satu lagi aksi mantap untuk terus mengukuhkan cengkaman di tangga teratas Resorts World Genting Purple League 2015 menerusi kemenangan mudah 14-3 mengatasi Nusajaya BC pada perlawanan yang berlangsung di Arena Sports@Sentosa.

Kemenangan ketujuh berturut-turut buat Muar City ini turut diwarnai dengan penampilan sulung bintang Korea Selatan yang juga pemain beregu nombor satu dunia, Lee Yong Dae.

Kehadiran Yong Dae meleraikan penantian sekian lama Muar City serta peminat setia Purple League dan Yong Dae tidak mengecewakan apabila tampil dengan aksi cukup bertenaga bersama gandingannya Tan Boon Heong  untuk mencatat kemenangan dalam acara beregu lelaki.  

“Sudah lama saya mahu beraksi di Purple League Malaysia, dan ia pengalaman istimewa dapat berganding dengan (Tan) Boon Heong kerana dia seorang pemain yang bagus. Bermain dalam sistem 11 mata memang cukup mencabar, anda perlu fokus dari awal,” ujar Yong Dae. 

Tambahnya lagi, “Agak gementar juga pada awalnya tetapi Boon Heong memimpin dengan baik. Set kedua dan ketiga menjadi lebih mudah berbanding permulaan apabila saya sudah memahami sistem permainan, dan perlu diakui ia satu pengalaman baru buat saya.”

Yong Dae/Boon Heong turun ke gelanggang pada ketika Muar City memiliki kelebihan 9-2 menerusi kemenangan dalam acara perseorangan lelaki, perseorangan wanita dan beregu campuran dan beraksi tanpa tekanan, pasangan itu dengan bersahaja menewaskan Hoon Thien How/Teo Kok Siang 3-0 (11-8, 11-3, 11-5).     

Sebelum itu, Nusajaya yang mencari kemenangan untuk menghidupkan semula cabaran selepas tewas empat perlawanan terdahulu bermula dengan meyakinkan apabila Tam Chun Hei mengheret Fikri Ihsandi Hadmadi untuk beraksi lima set sebelum tewas 2-3 (3-11, 11-8, 11-9, 2-11, 8-11).    

Begitupun, Muar City tidak langsung menunjukkan belas pada aksi berikutnya apabila pemain perseorangan wanita, Kim Mun Hee mudah mencatat kemenangan 3-0 ke atas Liang Xiao Yu diikuti kecemerlangan pasangan beregu campuran, Chow Mei Kuan/Han Sang Hoon yang turut menang 3-0 ke atas Lim Khim Wah/Sannatasah Saniru sekaligus menjadikan kedudukan 9-2.

Yong Dae/Boon Heong melebarkan kelebihan Muar City kepada 12-2 sebelum Tommy Sugiarto menutup tirai aksi dengan kemenangan 3-1 ke atas Goh Soon Huat. 

Kemenangan terbaru ini menyaksikan Muar City terus kekal selaku pilihan utama mempertahankan kejuaraan pada ketika pencabar seperti Cheras, Petaling Jaya, Petaling dan Puchong United perlu tampil lebih konsisten dan bekerja keras jika mahu mempunyai sebarang harapan untuk menyekat dominasi Muar City.

- Advertisement -