sea_games_2017Oleh Muhammad Aiman

Berstatus penerjun olimpik, bukan alasan untuk Pandelela Renong memandang sebelah mata kejohanan Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 tatkala ratu terjun negara itu secara jelas melaungkan hasratnya mahu beraksi di temasya dwitahunan itu.

Sebelum ini timbul tanggapan atlet kelahiran Sarawak itu akan membuat keputusan melupakan KL 2017 bagi memberi tumpuan penuh hanya kepada kejohanan-kejohanan utama dunia.

Ini termasuk penyertaan di Kejohanan Terjun Dunia di Budapest, Hungary yang akan berlangsung dari 14-30 Julai, paling hampir dengan tarikh berlangsungnya Sukan Sea tiga minggu kemudian dari 19-31 Ogos.   

“Tiada pertembungan tarikh berlaku antara kejohanan utama dan Sukan Sea. Empat Kejohanan Siri Dunia pula hanya berlangsung pada Mac dan April. Jadi saya merasakan tiidak perlu saya mengorbankan penyertaan di Sukan Sea, sepatutnya tiada masalah untuk saya mengambil bahagian.

“Ia kejohanan terbesar Asia Tenggara dan berlangsung di bumi sendiri, malah sebelum ini pun saya tidak pernah ketepikan Sukan Sea. Saya cukup berbesar hati untuk membawa cabaran negara di kejohanan itu nanti,” ujar Pandelela yang mana kelibatnya bukan asing di temasya Sukan Sea.

Untuk rekod, atlet berusia 23 tahun itu meraih emas di lima Sukan Sea berturut-turut iaitu Thailand 2007, Laos 2009, Indonesia 2011, Myanmar 2013 dan Singapura 2015. 

Ketika ini, Pandelela tidak beraksi dalam mana-mana pertandingan sejak meraih pingat perak bersama gandingannya Cheong Jun Hoong di Sukan Olimpik Rio De Janeiro setelah mengambil keputusan ‘bercuti’ bagi memberi fokus kepada pengajiannya di Universiti Malaya.  

Namun dia tetap menjalani latihan seperti biasa di Pusat Akuatik Cheras selain latihan fizikal kendalian Institut Sukan Negara, dan dijangka kembali  menjalani latihan intensif bagi menghadapi kejohanan-kejohanan besar pada awal tahun depan.

“Pelajaran saya sebelum ini tertangguh kerana memberi fokus kepada persiapan olimpik, kini selepas habis olimpik sasaran saya tamatkan pengajian secepat mungkin. Saya sepatutnya sudah berada di semester empat tetapi sebab tertangguh masih di semester dua,” katanya. 

- Advertisement -