Selaras dengan pengumuman yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bermula 13 hingga 26 Januari, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini secara rasminya mengumumkan penangguhan penganjuran Kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2021.

TNB MHL 2021 yang dijadualkan bermula pada 14 Januari sehingga 20 Februari bagi kategori Lelaki dan Wanita sepatutnya menjadi kejohanan pertama di dalam Kalendar kejohanan bagi tahun 2021 untuk dianjurkan oleh KHM.

Namun ianya terpaksa ditunda kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, selepas Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil yang telah diumumkan sebagai venue kejohanan berada di dalam senarai negeri yang diwartakan sebagai zon PKP (WP. Kuala Lumpur, WP. Putrajaya, WP. Labuan, Selangor, Sabah, Pulau Pinang, Melaka dan Johor).

Pengumuman penangguhan kejohanan tersebut telah diumumkan oleh Jawatankuasa Pertandingan KHM menerusi Pengerusi mereka, Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh, pada satu sidang media yang berlangsung di Pejabat KHM, hari ini.

“Selepas berbincang bersama barisan Ahli Jawatankuasa Pertandingan, semua pengurus pasukan yang mengambil bahagian pada kejohanan kali ini, serta memaklumkan kepada barisan Ahli Lembaga Eksekutif KHM, ingin saya maklumkan Kejohanan TNB MHL 2021 akan ditunda.

“Mengikut perancangan Jawatankuasa Pertandingan, kami merancang untuk menganjurkan semula kejohanan tersebut pada bulan Julai atau Ogos, atau mana-mana tarikh yang bersesuaian di mana semuanya bergantung kepada situasi semasa.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada semua pasukan yang bertanding pada tahun ini kerana memberikan kerjasama yang cukup baik,” jelasnya.

KHM dalam pada itu akan terus bergerak seiring dengan saranan yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia termasuk, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memastikan keselamatan semua pihak selain usaha untuk memutuskan penularan wabak Pandemik Covid-19 yang kini cukup membimbangkan.

- Advertisement -