Jaringan tunggal Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal memastikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengekalkan status quo sebagai pendahulu biarpun menang tipis 1-0 ke atas TNB Thunderbolts pada saingan TNB Liga Hoki Malaysia (Premier) 2022 malam tadi.

Kebuntuan jaringan pada suku pertama akhirnya dapat dilerai pada penghujung suku kedua apabila TNB Muhammad Azrai berjaya menggegar gawang TNB Thunderbolts menerusi jaringan dari penalti sudut pada minit ke-25.

TNB Thunderbolts bermain baik mengekang pergerakan TNB yang kini masih bertahan di kemuncak dengan 18 mata walaupun ditekan hebat Terengganu Hockey Team (THT) dengan ketinggalan hanya satu mata di belakang TNB.

THT pula tidak berdepan masalah membenam Nurinsafi Sporting dengan jaringan besar 5-0 dengan penyerang kebangsaan Faizal Saari dan Ismail Abu masing-masing menemui sasaran dua gol.

THT, satu-satunya pasukan yang kekal tanpa kalah, bagaimanapun terpaksa menunggu hingga minit ke-17 sebelum dapat memastikan namanya terpahat sebagai penjaring. Faizal sekali lagi meledak pada minit ke-39.

Pemain berpengalaman Ismail Abu turut tidak ketinggalan menyumbang gol pada minit ke-27 dan 54 sebelum penyerang Marhan Jalil menambah satu lagi gol pada minit ke-24.

“Secara keseluruhan, pemain kami bermain dengan lebih efektif teapi masih ada ruang perlu dibaki, terutama menjelang pertemuan sukar dengan Maybank pada Isnin depan,” kata ketua pasukan Fitri Saari.

Dalam pada itu, perlawanan membabitkan UiTM HA dan National Development Team (NDT) berakhir selepas 47 minit perlawanan yang menyaksikan kemenangan 3-1 ke atas NDT.

Hujan lebat dan keadaan cuaca buruk di venue memaksa pegawai memberhentikan perlawanan pada pada minit ke-47. Selepas menunggu 30 minit dan keadaan cuaca buruk berterusan, perlawanan akhirnya ditamatkan dengan catatan UiTM menang 3-1.

Zulpidaus Mizun terlebih dahulu membuka jaringan biarpun terpaksa menunggu hingga ke-minit 22. Selang tiga minit selepas itu, giliran Faridzul Afiq Mohd pula melakar nama sebagai penjaring sebelum Danial Asyraf melengkapkan kemenangan.

Saingan separuh akhir liga akan berlangsung mulai 25 Mac dan berakhir dengan final pada 31 Mac.

 

- Advertisement -