Hampir lengkap musim 2017 buat pasukan berstatus benua, Terengganu Cycling (TSG) tampak masih bergelut untuk kembali bersaing khususnya di rantau Asia.

Setakat ini, TSG yang berpengkalan di pantai timur semenanjung Malaysia menduduki ranking ke 18 dalam ranking Jelajah Asia yang dikeluarkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa, UCI.

Kedudukan ini jatuh satu anak tangga berbanding ke 17 tahun lalu, justeru ia dilihat sebagai sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh pengurusan TSG.

“Kami ada kenangan manis seperti memenangi lapan peringkat perlumbaan di Filipina, Tochiqi, Lombok, Flores, Jelajah Malaysia dan Jelajah Selangor serta pelumba kami meraih pingat emas di Sukan SEA ke 29 Ogos lalu.

“Walaubagaimanapun kedudukan kami dalam ranking UCI Jelajah Asia jatuh berbanding tahun lalu kerana kami tidak meraih mata dalam Kejohanan Kebangsaan yang tidak diadakan tahun ini,”kata Pengurus pasukan, Danny Feng.

Feng juga menambah wujud masalah displin dikalangan pelumba namun beliau memberi jaminan segala kekurangan yang berlaku sepanjang 2017 akan diselesaikan.

Malah, beliau turut memaklumkan beberapa pelumba baru termasuk pelumba luar negara akan bersama pasukan TSG bagi tahun depan.

Anuar Manan dan Adiq Hussaini Othman antara dua pelumba tempatan yang dijangka tidak akan menyarung jersi TSG tahun depan bersama sama Dadi Suryadi dan Gong Hyo Suk yang akan bersama sama pasukan lain musim depan.

” Anuar Manan tidak akan beraksi di perlumbaan UCI bersama sama TSG pada 2018. Kami telah berbincang dengan dia berhubung persaraannya pada penghujung tahun lepas.

“Kami mahu Anuar Manan mencapai kejayaan di LTdL 2017 dan mengekallkannya untuk Sukan SEA ke 29  dan menyertai Jelajah Selangor sebagai perlumbaan terakhir di Malaysia bersama sama TSG.

“Kami mahu dia terus berkhidmat bersama sama TSG untuk mempromosi pasukan serta bekerjasama dengan pelumba pelumba pelapis Terengganu tetapi segalanya bergantung kepada keputusan Anuar Manan, “katanya lagi.

Perancangan bagi tahun depan telah pun di atur pengurusan TSG di mana kedudukan kewangan dijangka tidak menjadi masalah kerana beberapa penaja baru telahpun bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada keluarga TSG.

“Beberapa bulan lalu, beberapa penaja dan pembekal peralatan telah bersetuju untuk bersama TSG malah penaja sedia ada juga telah bersetuju untuk bersama sama kami.

“TSG akan mengadakan latihan pusat pada awal Januari tahun depan sebagai persiapan untuk menyertai Jelajah Sharjah di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Jelajah Indonesia,”katanya lagi.

TSG juga sedang menyusun perlumbaan perlumbaan lain pada masa akan datang termasuk jelajah berbasikal terbesar di Asia Tenggara, Le Tour de Langkawi 2018.

Danny juga menambah, TSG akan memberi tumpuan terhadap perlumbaan di sekitar Asia, namun tidak menolak untuk beraksi di luar Asia andai menerima jemputan.

Dalam perkembangan lain, Danny juga mengesahkan Jeremy Hunt kekal sebagai jurulatih TSG bagi tahun 2018.OLEH KU MOHD LUFTI 

 

- Advertisement -