Dengan ketinggian 1.75 meter dan berat 78 kilogram, penampilan Ali Alhamidi Ayob tidak seperti perejam lain dalam Sepak Takraw League (STL) Premier 2017.

Ketika rata-rata pemain di posisi itu berketinggian sederhana dan bertubuh kecil, fizikal mantap apit kanan Selangor Pistons itu memberikannya kelebihan tersendiri untuk mencari bucu gelanggang pada setiap rejamannya, seterusnya menyukarkan lawan membaca sasaran setiap serangan.

Kelebihan Ali itu juga beberapa kali menyelamatkan Selangor Pistons musim ini, termasuklah ketika mereka meneruskan misi ‘survivor’ dalam STL Premier dengan menundukkan Kelantan Warriors pada minggu lalu.

Dengan fizikal umpama tekong, Ali dijangka akan sekali lagi menjadi sandaran Selangor Pistons apabila mereka menghadapi dua aksi getir yang akan menentukan nasib mereka minggu ini iaitu menentang ATM Guardians pada Jumaat dan juara STL Premier, Penang Black Panthers pada Sabtu. 

Pasukan itu wajib menang kedua-dua aksi untuk terus kekal bersaing dalam STL Premier atau berdepan kemungkinan mengiringi Johor Tigris tersingkir ke Divisyen Satu.

“Kami berdepan situasi yang cukup genting, kedua-dua perlawanan ibarat final dan kami tidak boleh lakukan kesilapan. Sudah tentu bukan mudah apatah lagi perlawanan yang bakal menentukan nasib kami adalah perlawanan menentang Penang (Black Panthers).

“Mereka dalam momentum yang baik, tetapi kami tidak boleh mengalah, kami perlu libas siapa sahaja untuk teruskan perjuangan. Semoga minggu ini kami dapat tunjukkan satu prestasi yang lebih baik dari sebelum ini,” kata pemain berusia 29 tahun itu.

Dalam pada itu, menyingkap pembabitannya dalam sukan tradisi ini, pemain itu menjelaskan, “Ketika itu saya berada dalam darjah lima dan mengikut abang saya bermain di taman permainan. Di situ bakat saya mula dikesan dan saya diserap masuk ke dalam sekolah projek sepak takraw, Sekolah Tinggi Klang pada usia 13 tahun.

“Cikgu Taha adalah jurulatih yang memperkenalkan teknik rejaman yang menjadi kelebihan saya sehingga kini. Selepas itu, saya menyertai Sukan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) ketika Tingkatan Empat dan setahun selepas itu beraksi dalam Sukan Sekolah-Sekolah Asean.

“Kerjaya saya mula berkembang selepas memasuki UITM, ketika itu saya diserap masuk ke dalam skuad kebangsaan selain terpilih menyertai Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan Sukan Universiti Asia.”

Bagi Ali, pentas STL menjadi medan terbaik mempromosikan sukan itu kepada golongan muda zaman sekarang yang mempunyai tanggapan bahawa takraw hanyalah sukan kampung yang tidak memiliki daya penarik.

“Pengenalan STL berjaya mengangkat sukan itu kepada tahap yang lebih tinggi. Mereka juga dapat melihat bahawa terdapat masa depan dalam sukan ini dan tidak terus berkubur selepas memasuki universiti atau alam pekerjaan,” tambahnya.

 

 

Jadual aksi minggu ketujuh (terakhir):

17 November (Jumaat) : Penang Black Panthers lwn Kuala Lumpur Thunder (8 mlm), ATM Guardians lwn Selangor Pistons (9.30 mlm)

18 November (Sabtu) : Terengganu Turtles lwn Perak Bison (5 ptg), Kelantan Warriors lwn Johor Tigris (6 ptg), Selangor Pistons lwn Penang Black Panthers (8 mlm)

19 Oktober (Ahad) : Perak Bison lwn Kuala Lumpur Thunder (5 ptg), Johor Tigris lwn ATM Guardians (6 ptg), Kelantan Warriors lwn Terengganu Turtles (8 mlm)

 

- Advertisement -