jdtSaya mewakili Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, barisan Jawatankuasa Eksekutif FAM serta seluruh warga kerja FAM pertama sekali ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di atas kejayaan mereka muncul juara kejohanan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi tahun 2015.

 Kejayaan JDT menewaskan pasukan dari Tajikistan, FC Istiklol 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Central Republican, Dushanbe, malam tadi menerusi jaringan tunggal Leandro Sebastian Velazquez pada minit ke-23 adalah satu sejarah baharu buat bola sepak Malaysia.

Saya dan Timbalan Presiden FAM, Dato’ Sri Hj Afandi Hamzah yang turut berada di stadium berkenaan menyaksikan perlawanan akhir itu cukup gembira dan berasa bangga dengan kejayaan diraih JDT terutama beraksi di hadapan hampir 18,000 penyokong pasukan lawan.

Lebih manis, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sendiri telah mencemar duli untuk naik ke pentas penyampaian hadiah bagi menyerahkan trofi Piala AFC kepada kapten JDT, Safiq Rahim.

Jika sebelum ini, Selangor muncul pasukan pertama dari Malaysia berjaya layak ke final edisi sulung Kejohanan Kelab Juara Asia (sebelum ditukar namanya ke Kejuaraan Kelab Asia dan Liga Juara-Juara AFC) pada tahun 1967 tetapi tewas 2-1 kepada kelab Israel, Hapoel Tel Aviv, kini JDT melakar satu lagi sejarah baharu.

Sejak Piala AFC diperkenalkan pada tahun 2004, kejuaraan bagi kejohanan peringkat kedua tertinggi di Asia ini dimonopoli penuh pasukan-pasukan dari Asia Barat iaitu kelab-kelab dari Kuwait, Jordan, Bahrain, Syria serta Uzbekistan.

Belum pernah ada mana-mana pasukan dari Malaysia mahupun dari Asia Timur termasuk juga Asia Tenggara muncul sebagai juara sebelum JDT akhirnya berjaya melakukannya pada final edisi kali ke-12 bertarikh 31 Oktober 2015, malam tadi.

Sebelum ini, saban tahun wakil-wakil dari Malaysia hanya mampu melangkah setakat peringkat suku akhir sebelum JDT mencipta sejarah muncul pasukan pertama berjaya mara ke separuh akhir Piala AFC tahun ini, seterusnya mencipta pula sejarah sebagai pasukan pertama ke perlawanan akhir dan melakar sejarah menjadi pasukan juara pertama dari Malaysia.

Ternyata kejayaan JDT ini sesuatu yang cukup membanggakan kerana ia sekali gus telah mengharumkan nama Malaysia di pentas Asia dan ia patut dicontohi dan menjadi inspirasi kepada pasukan-pasukan lain di Malaysia untuk mempunyai cita-cita tinggi bagi mencapai kejayaan bukan hanya di saingan domestik tetapi di peringkat Asia.

Bagi pihak FAM, kami sentiasa bersedia untuk memberi bantuan dan sokongan berterusan pada masa akan datang termasuk dari aspek penyusunan jadual liga domestik yang tidak terlalu padat buat wakil-wakil negara di kejohanan Piala AFC dan ternyata ia sedikit sebanyak telah membantu JDT untuk mara sehingga ke perlawanan akhir pada tahun ini.

Akhir kata, ucapan tahniah sekali lagi kepada seluruh barisan pegawai, jurulatih dan juga pemain JDT yang telah berusaha keras sejak dari awal saingan Piala AFC musim ini termasuk ketika mereka bersaing pada perlawanan playoff Liga Juara-Juara AFC.

Tidak dilupakan kepada Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) iaitu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menjadi tunjang utama dalam mengubah landskap bola sepak di Johor, sekali gus berjaya menjulang nama JDT untuk mencapai kejayaan di peringkat domestik dan juga antarabangsa.

Tahniah sekali dari daripada saya yang mewakili Presiden FAM, barisan Jawatankuasa Eksekutif FAM dan seluruh warga kerja FAM kepada Tunku Ismail serta seluruh warga kerja PBNJ dan pasukan JDT.

 

DATO’ HJ HAMIDIN HJ MOHD AMIN

SETIAUSAHA AGUNG FAM

DUSHANBE, 1 NOVEMBER 2015

- Advertisement -