Oleh Muhammad Aiman

Kemelut kewangan persatuan bolasepak negeri sehingga ada pasukan yang mengancam mahu menarik diri dari beraksi dalam kancah Liga Malaysia musim depan turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Najib, jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah yang semakin serius ini perlu segera dicari kerana tindakan menarik diri hanya akan mengecewakan jutaan penyokong bolasepak tempatan terutamanya generasi muda.

“Saya bimbang bila dapat tahu ada persatuan bolasepak negeri antaranya Kelantan mahu menarik diri kerana masalah kewangan. Saya difahamkan masalah ini timbul berikutan peletakan jawatan Tan Sri Annuar Musa sebagai presiden.

“Saya telah minta beliau untuk membantu Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), agar tidak menghampakan ribuan penyokong The Red Warriors. Bola sepak adalah sukan rakyat nombor satu dalam negara, maka penting untuk semua yang terlibat dengan bolasepak negara memastikan sukan ini terus berkembang,” kata Najib dalam laman facebook rasminya.

Kelantan, juara treble 2012, berdepan masalah kewangan tenat setelah penaja utama Vida Beauty membuat keputusan tidak meneruskan tajaan bagi musim depan kerana menganggap ianya ‘tidak berbaloi’ manakala barisan exco KAFA pula terkial-kial tanpa halatuju setelah Annuar melepaskan jawatan Oktober lalu.

Timbalan Presidennya, Dato’ Sri Affandi Hamzah menyatakan mereka tiada pilihan lain jika tiada pihak yang tampil membantu kerana kantung KAFA hanya mempunyai RM800,000 namun keputusan muktamad sama ada kekal beraksi atau tidak hanya akan dibuat pada 29 Disember menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa KAFA.

Selain Kelantan, turut menyatakan hasrat menarik diri adalah Perlis dipimpin Datuk Rozabil Ahmad dan juga Selangor pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali. 

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika mengulas mengenai perkara ini berkata masalah ini tidak timbul sekiranya setiap pasukan beroperasi mengikut kemampuan kewangan mereka dan tidak terlalu taksub dalam berbelanja. 

“Ini sudah sampai tahap kritikal. Kelantan, Perlis, Selangor, selepas ini kita tidak tahu siapa pula. Kita faham tekanan kewangan terhadap persatuan bolasepak negeri sangat berat, terutama dalam keadaan ekonomi sekarang.

“Kebanyakan persatuan ini bergantung kepada kerajaan negeri atau syarikat berkaitan kerajaan untuk beri tajaan tetapi tahun ini sangat susah kerana kerajaan negeri juga tidak mampu. Sekarang bukan sekadar RM3-4 juta, dulu masa saya kendalikan MyTeam bajet RM3-4 juta tetapi sekarang ia tidak cukup walaupun untuk bayar pemain simpanan.

“Saya harap mereka dapat beroperasi ikut kemampuan kewangan. Tidak perlu dapatkan khidmat pemain bergaji besar atau pemain import gaji besar. Guna pemain pelapis sedia ada, atau cari penaja luar,” kata Khairy.

- Advertisement -