Pemain perseorangan lelaki, V Poopathi akur tidak dapat pulang ke Puchong untuk meraikan sambutan perayaan Deepavali dengan situasi semasa pandemik Covid 19.

Walaupun sedih kerana tidak dapat pulang, pemain berusia 16 tahun ini menganggap ia sebagai pengorbanan yang perlu diambil dalam misi menjadi pemain badminton terbaik di masa akan datang.

V Poopathi muncul juara kumpulan A&B dalam aksi playoff 100PLUS Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan 2020 yang berlangsung di Stadium Juara Bukit Kiara pada 4-6 November lalu.

Kejohanan ini menjadi penentu kedudukan pemain pemain dalam skuad remaja kebangsaan yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Kejohanan dalaman ini juga merupakan pertandingan kompetitif kedua selepas saingan peringkat kumpulan 100PLUS Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan 2020 yang berlangsung pada Oktober.

kesemua pemain pemain remaja kebangsaan yang dibimbing Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia Datuk Misbun Sidek berkampung di Akademi Badminton Malaysia (BAM) selepas melaporkan diri sejak Julai lalu dengan pematuhan prosedur operasi standard yang cukup ketat bagi mengelak penularan Covid 19.

 

- Advertisement -