Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin optimis Malaysia mampu mencapai apa yang telah dilakukan oleh skuad bawah 23 tahun Vietnam yang berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala AFC B23 di China.

Khairy percaya menerusi pelaburan jangka panjang khususnya di peringkat akar umbi, Malaysia mampu untuk melahirkan pemain pemain pelapis yang berkualiti.

Vietnam mengalahkan Qatar 4-3 menerusi penentuan penalti selepas terikat 2-2 dalam saingan separuh akhir sekaligus bakal berdepan Uzbekistan pada final Sabtu ini.

“Vietnam yang tidak pernah kita ramalkan boleh tewaskan pasukan hebat tetapi mereka berjaya tewaskan Iraq pada suku akhir dan Qatar pada separuh akhir. Kalau Vietnam boleh buat, kita juga boleh,”kata Khairy.

Skuad B23 tahun negara melakar sejarah apabila melangkah sehingga peringkat suku akhir sebelum tewas 1-2 kepada Korea Selatan untuk memburu slot ke separuh akhir.

Terdahulu, dalam saingan kumpulan, anak didik Datuk Ong Kim Swee mengejutkan Arab Saudi 1-0 sekalgus menyingkir naib juara 2013.

KBS menerusi inisiatif Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) menerima suntikan semangat apabila menerima tajaan daripada BDB Land.

Syarikat pembangunan hartanah yang bertanggungjawab membangunkan Bandar Darulaman di Jitra, Kedah akan menjadi penaja baharu program PPBN di Zon Kedah yang akan memanfaatkan 1,200 pemain termasuk  membantu dalam segi kos operasi di sembilan pusat latihan di negeri itu.

“Secara keseluruhan terdapat 126 pusat latihan di seluruh negara, setiap pusat latihan secara puratanya memerlukan kos operasi RM120,000 setahun. Sebahagian besar datang daripada peruntukan kerajaan,” kata Khairy lagi.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Kuantan, akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi.

“Progres pembinaan (AMD) sudah mencapai 98 peratus, esok saya akan membuat lawatan untuk meninjau kerja-kerja yang belum dapat dilaksanakan,” katanya.

AMD bakal menempatkan pemain remaja terbaik negara berusia dari 13 hingga 17 tahun.

- Advertisement -