Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat keputusan untuk tidak menghantar gandingan beregu lelaki, Tan Wee Kiong-Goh V Shem untuk beraksi di Terbuka Amerika Syarikat yang akan berlangsung dari 19-23 Julai depan.

Jurulatih beregu negara, Jeremy Gan berkata langkah itu adalah bagi memberi lebih ruang kepada gandingan itu yang mengharungi prestasi hambar sepanjang tahun ini untuk membuat persiapan beraksi di Kejohanan Dunia di Glasgow pada Ogos.

“Pada awalnya kita menyenaraikan nama mereka tetapi setelah membuat pertimbangan kami merasakan ianya lebih elok mereka meneruskan latihan dalam negara dan menajamkan semula sentuhan. Itu langkah terbaik agar konsentrasi mereka tidak terganggu.

“Kita perlu akui prestasi semasa mereka tidak begitu bagus. Nanti pergi sana (Amerika), kalah awal, hanya akan merosakkan motivasi mereka sebelum menghadapi Kejohanan Dunia,” kata Jeremy.

Ini bermakna Wee Kiong-V Shem kini mempunyai tempoh penuh selama satu bulan setengah untuk fokus dalam mendapatkan semula aura sang juara yang membantu mereka menamatkan tahun 2016 di kemuncak prestasi – memenangi pingat perak Sukan Olimpik, menjuarai Pusingan Akhir Siri Super Dunia dan bergelar beregu lelaki nombor satu dunia. 

Sebagai rekod, sepanjang tahun 2017 Wee Kiong-V Shem tidak pernah mara melepasi peringkat suku akhir dalam mana-mana kejohanan Siri Super termasuklah di All England, Terbuka India, Terbuka Malaysia, Terbuka Singapura dan Kejohanan Badminton Asia.   

Malah terbaru, mereka tersingkir seawal pusingan pertama di Terbuka Australia minggu lalu setelah tunduk kepada beregu bukan pilihan dari Jepun, Takuto Inoue-Yuki Kaneko sekaligus menyaksikan kedudukan mereka dalam ranking dunia tergelincir lagi, jatuh ke tangga kelima. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -