welson

Oleh Muhammad Aiman

Memecahkan rekod kebangsaan milik Jeffrey Ong menjadi sasaran perenang muda sensasi negara, Welson Sim apabila turun beraksi dalam acara 1,500m gaya bebas lelaki dalam Siri Jelajah Mare Nostrum di Canet-en-Roussillon, Perancis pada Khamis dan Barcelona, Sepanyol pada hujung minggu ini.

Perenang dari Sarawak itu memperbaharui catatan masa terbaik peribadinya dalam acara itu dengan melakar 15:35.63s di Terbuka Malaysia bulan lalu dan dia kini berada pada prestasi serta tahap keyakinan tinggi untuk cuba mengusik rekod 15:23.61s milik Jeffrey yang dilakar pada 1991.

Keyakinan itu sudah pastinya bersandarkan kepada kejayaannya mencetus sensasi dalam persinggahan pertama Mare Nostrum di Monaco minggu lalu apabila meraih pingat perak acara 400m gaya bebas dan pingat gangsa acara 200m gaya bebas. 

Acara 1,500m gaya bebas pula tidak dipertandingkan di Monaco namun pada hakikatnya bukan rekod Jeffrey semata-mata diintai oleh Welson yang turut mempunyai sebab lain untuk mengejar rekod berusia 25 tahun itu.

Ini kerana catatan masa terbaik peribadi yang dipegang Welson ketika ini telah membolehkannya melepasi had kelayakan kategori B bagi beraksi di Sukan Olimpik Rio De Janeiro Ogos depan dan dia perlu melakukan catatan masa di bawah 15:14.77s untuk melepasi had kelayakan kategori A.

Justeru ia dilihat sebagai sebab utama yang memberi suntikan dan semangat tambahan kepada perenang berusia 19 tahun itu untuk melakukan yang terbaik.   

Untuk rekod, Welson sudah sedia mempunyai dua tiket dalam acara 200m dan 400m gaya bebas di Olimpik Rio  setelah melepasi had kelayakan kategori A ketika beraksi di Kejohanan Renang Peringkat Umur Singapura pada bulan Mac lalu.

Welson dan pakar acara kuak dada, Phee Jinq En menjalani latihan selama dua minggu di Melbourne, Australia sebelum menyertai Jelajah Mare Nostrum

Jurulatih pasukan renang kebangsaan, Paul Bimingham berkata, “Welson telah berlatih dengan Mack Horton, yang merupakan perenang nombor satu dunia bagi acara 1,500m tahun ini. Saya tidak pasti sama ada Welson akan berjaya untuk melepasi had kelayakan kategori A, tetapi dia berpeluang untuk perbaiki masa peribadinya. Selepas itu, kita akan tengok adakah ia cukup bagus untuk dia beraksi di Olimpik (bagi acara 1,500m).”

Pusingan di Canet-en-Roussillon ini dijangka lebih mencabar berbanding Monaco dengan penyertaan lebih ramai atlet olimpik dan pemenang pingat kejohanan dunia antaranya Hosszu Katinka, (Hungary), Chad Le Clos (Afrika Selatan), dan Kosuke Hagino (Jepun).

- Advertisement -