Ketua jurulatih Penang FC, Zainal Abidin Hassan berpuas hati aksi barisan pemain terutamanya Hilal Al-Helwe dan Endrick dos Santos yang membantu pasukan menang 2-1 ke atas Terengganu FC meskipun tanpa kudrat penyerang utama, Casagrande yang kini dilanda kecederaan.

Ketiadaan penyerang dari Brazil itu yang mengalami retak tulang pipi kanan sedikit sebanyak memberi impak kepada pasukan, namun percaturan Zainal nyata menjadi untuk memastikan bahagian depan Penang tetap berbisa untuk memburu jaringan.

Jelasnya, beliau perlu melakukan perubahan drastik terutamanya di bahagian serangan selain menyifatkan pasukan ini mempunyai ramai pemain yang mampu melakukan larian deras di mana Endrick dan Al-Helwe melakukan tugas yang cukup baik untuk membantu pasukan menewaskan Terengganu FC, pada Rabu.

“Memang saya kena teliti setiap pemain pada saat-saat akhir apabila kita kehilangan Casagrande dan di sini kita terpaksa ubah suai khususnya di bahagian serangan.

“Ini kerana kita ada begitu banyak pemain yang deras berlari, tetapi untuk perlawanan ini selepas tiada Casagrande, saya terpaksa buat keputusan untuk Endrick dan Hilal, Alhamdulillah mereka berjaya menjalankan tugas malam ini (Rabu).

“Kita tahu serangan Terengganu berbisa dengan enam pemain mereka seperti Manuel Ott, Faisal Abdul Halim, Faiz Nasir, Habib Haroon, Tchetche Kipree dan Kpah Sherman, mereka sungguh bahaya dan dapat buat serangan yang baik sehingga menghasilkan gol, itu kecuaian yang telah kita buat.

“Tetapi mereka telah mengawal keenam-enam ini dengan baik dan di sinilah nampak kesungguhan mereka untuk terus mendapat kemenangan,”jelasnya.

Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain pula menganggap kecekapan barisan pertahanan lawan menutup peluang anak buahnya untuk menambah gol untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata.

Apatah lagi dengan keinginan Penang yang begitu menginginkan kemenangan sulung mereka nyata menghukum Terengganu untuk meraih kemenangan berterusan.

“Pertama sekali, tahniah untuk Penang atas kemenangan pertama pada musim ini dan perlawanan ini kita bermula agak perlahan berbanding Penang yang nampak lebih bersemangat bermain di laman sendiri.

“Usaha mereka memang nampak melebihi Terengganu dan pada separuh masa kedua, kita cuba untuk bangkit tapi kita terlalu cepat beri gol kepada Penang.

“Jadi, dari situ menambah lagi moral mereka untuk bertahan dan kita ada cuba walaupun banyak peluang, tetapi pertahanan Penang dan penjaga gol mereka bermain dengan cemerlang,”katanya.

Penang FC kini di tangga ke 12 Liga Super dan Terengganu FC di kedudukan kelapan.

- Advertisement -