Malaysia menyerlahkan saingan mantap pada hari kedua terakhir Sukan SEA ke-33 Thailand 2025 apabila meraih 10 pingat emas, sekali gus memintas Singapura dan melonjak ke kedudukan keempat keseluruhan menjelang penutup tirai temasya dwitahunan itu esok. Ledakan emas menerusi polo, terjun, boling tenpin, berbasikal trek, hoki padang, skuasy dan menembak itu melonjakkan jumlah kutipan pingat Malaysia kepada 227 pingat, jauh melepasi sasaran awal kontinjen iaitu 200 pingat. Dengan berbaki satu hari pertandingan berbaki, tuan rumah Thailand telah pun mengesahkan gelaran juara keseluruhan selepas mengumpul rekod 232 pingat emas, manakala Indonesia dan Vietnam masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga dengan 91 dan 86 pingat emas. Lonjakan lewat Malaysia itu menyaksikan Singapura tergelincir ke tangga kelima.Kebangkitan emas Malaysia bermula di gelanggang skuasy apabila Sanjay Jeeva dan Noor Ainaa Amani Ampandi menghadiahkan emas dalam final individu sesama Malaysia di Kolej Vajiravudh. Sanjay menewaskan Duncan Lee 6–11, 11–6, 11–5, 11–4, manakala Noor Ainaa mengatasi Yee Xin Ying 11–7, 12–10, 8–11, 11–4, sekali gus mengesahkan penguasaan Malaysia di peringkat serantau. Secara keseluruhan, skuad skuasy menyapu bersih empat pingat emas dan dua perak yang dipertandingkan di Bangkok. Seperti dijangka, hoki menyumbang dua pingat emas, dengan pasukan lelaki dan wanita mempamerkan keunggulan masing-masing.Skuad lelaki mempertahankan kejuaraan dengan penuh bergaya apabila membelasah Thailand 8–0,sekali gus menghadiahkan Malaysia pingat emas hoki Sukan SEA ke-18 sejak penampilan sulung pada edisi 1971 di Kuala Lumpur.Pasukan wanita turut melengkapkan kejayaan berganda selepas menewaskan Indonesia 6–0 untuk meraih emas. Sukan terjun akhirnya menikmati detik gemilang apabila menyumbang dua pingat emas. Nur Eilisha Rania Abrar Raj dan Nurul Farisya Alia Affendi memenangi emas acara seirama 10m platform wanita dengan 248.40 mata, mengatasi gandingan dari Singapura dan Indonesia. Kejayaan itu disusuli emas acara seirama 3m papan anjal lelaki menerusi Nurqayyum Nazim Nazmi dan Yong Rui Jie, sekali gus menambah momentum kutipan emas Malaysia. Skuad berbasikal trek yang konsisten sekali lagi menyinar apabila Ridwan Sahrom, Fadhil Zonis dan Akmal Nasimi Jusena memenangi emas acara pecut berpasukan lelaki. Trio negara mencatat masa 1:00.520 bagi jarak 1,000 meter untuk menewaskan Thailand di final, sambil memadam rekod kebangsaan Malaysia 1:02.077 yang dicipta pada Sukan Asia 2014 di Incheon. Kem boling Malaysia menutup kempen dengan penuh bergaya apabila pasukan wanita meraih emas, hasil kemenangan Natasha Roslan, Nur Hazirah Ramli, Adania Redzwan dan Sin Li Jane ke atas Indonesia 817–773 dalam perlawanan akhir. Kejayaan itu merupakan emas boling berpasukan wanita pertama Malaysia sejak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, selain mengesahkan status Malaysia sebagai juara keseluruhan boling dengan kutipan dua emas, satu perak dan empat gangsa. Di lapang sasar, Ikil Hessly Hafiz mencipta detik terbaik dalam kariernya apabila meraih pingat emas pertama Sukan SEA dalam acara 50m rifle tiga posisi lelaki. Kutipan 447.5 mata yang direkodkannya turut mencipta rekod baharu Sukan SEA, mengatasi wakil Singapura Marat Lleyton P Veloso dan atlet Indonesia Gustafian Fathur. Pingat emas ke-10 Malaysia pada hari itu hadir daripada sukan polo apabila pasukan negara menewaskan Thailand 10–6½ dalam final acara 4–6 gol di VS Sports Club & Siam Polo Park. Kemenangan itu membalas kekalahan peringkat awal dan memastikan Malaysia mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada Sukan SEA Manila 2019. Menjelang hari terakhir temasya esok (Sabtu, 20 Disember), dua lagi pingat emas masih berada dalam jangkauan Malaysia menerusi final regu lelaki dan wanita sepak takraw, sebelum majlis penutup yang dijangka berlangsung penuh meriah di Stadium Nasional Rajamangala.

- Advertisement -