100PLUS.latest

Oleh Muhammad Aiman

Nasib yang menimpa skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh diibaratkan sebagai sukar untuk dipulihkan, dan skuad juara Liga Perdana 2012 itu berdepan kemungkinan akan kekal di kedudukan tercorot 100PLUS Liga Premier sehingga ke akhir musim jika melihat kepada prestasi dan juga situasi semasa mereka ketika ini.

Setelah mencuri tumpuan dengan mara ke final Piala Malaysia 2012 – tahun sama mereka muncul juara Liga Perdana – dan mencabar secara serius saingan Liga Super untuk beberapa musim, ATM kini dilihat tidak lebih dari sebuah skuad belasahan selepas melakukan rombakan besar-besaran pada penghujung musim lalu dek masalah kewangan.

Pernah digelar ‘Manchester City’ Malaysia apabila muncul antara pasukan terawal dalam Liga Malaysia yang berbelanja besar untuk membawa masuk bintang bolasepak tanah air seperti Marlon Alex James, Hairuddin Omar, Irwan Fadzly Idrus, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abdul Radzak, ATM sudah menjadi pasukan yang dipandang sebelah mata oleh pencabar mereka dalam saingan 100PLUS Liga Premier.

Tewas kesemua lima perlawanan liga yang mana lebih daripada separuh kekalahan adalah dengan jaringan besar, tidak keterlaluan jika dikatakan pasukan bimbingan Azhar Abdullah ini bakal berdepan kesukaran untuk memberi tentangan yang lebih baik meskipun selepas kembali dari cuti panjang Liga-M awal April nanti.

Dengan kesemua pencabar mereka mempunyai barisan pemain berpengalaman dan kualiti untuk memberi saingan dalam Liga Premier, serta paling penting memiliki kudrat pemain import, ATM pula hanya mempunyai Venice Elphi Dennis Kaya sebagai pemain paling berpengalaman manakala kesemua pemain lain adalah anggota ATM.

Justeru, ini dilihat menjadi kekangan terbesar buat mereka dan sudah pastinya rentetan keputusan buruk yang dicatat sekadar akan menyebabkan pasukan mengalami krisis keyakinan sekaligus menjejaskan motivasi dan moral di kalangan pemain.

ATM tersingkir dari saingan Liga Super setelah menduduki tangga ke-11 musim lalu, dan seterusnya gagal merebut talian hayat terakhir untuk layak ke Liga Super 2016 apabila tunduk kepada T-Team pada perlawanan play-off yang berlangsung pada Januari lalu.

Bagi saingan 100PLUS Liga Premier, mereka membuka kempen musim ini dengan kecundang 1-6 kepada Perlis, diikuti tewas 0-3 kepada Sime Darby, 0-2 kepada PKNS Selangor, 1-5 kepada JDT II dan terbaru 0-5 kepada Negeri Sembilan.

ATM akan berdepan sebuah lagi pasukan bermasalah, Sabah apabila liga kembali bersambung pada 4 April depan, di mana pasukan dari Borneo itu turut mencari kemenangan pertama selepas sekadar mengutip satu mata dari lima perlawanan pertama.  

- Advertisement -