KAMZ5296
Datuk Dr Noordin Ahmad

Oleh Muhammad Aiman

Kelab Serie B Itali, FC Bari 1908 bersedia untuk menawarkan peluang beraksi di pentas Eropah kepada pemain muda meningkat naik dari Malaysia, menerusi kerjasama dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Ahli perniagaan Malaysia, Datuk Dr Noordin Ahmad yang baru-baru ini mendapat liputan antarabangsa selepas membeli kepentingan besar dalam kelab itu, berharap usaha itu dapat memberi impak positif terhadap pembangunan pemain muda serta kualiti pasukan bolasepak kebangsaan.

“Perancangan awal adalah menghantar sekurang-kurangnya tiga pemain muda ke luar negara setiap tahun. Mereka dihantar ke serata Eropah seperti Itali, Jerman, Sepanyol dan sebagainya untuk menimba pengalaman,” ujar Noordin.

Terdahulu Noordin mengadakan pertemuan bersama presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa yang turut disertai presiden FC Bari 1908, Gianlucca Paparesta.

Dalam pada itu, Paparesta berkata kerjasama dengan KAFA adalah langkah pertama sebelum kelab itu membuka ruang kerjasama bersama pasukan-pasukan lain di Malaysia.

“Saya berada di sini untuk membina hubungan yang lebih baik bersama Dr Noordin dan Malaysia. Kita bercadang untuk menubuhkan sebuah akademi bolasepak untuk pembangunan pemain muda dan menyediakan mereka dengan kerjaya dalam liga bolasepak antarabangsa.”

“Banyak yang mahu kami lakukan untuk meningkatkan tahap pemain di sini, kami juga mahu pemain di sini merasai suasana dan corak permainan di Itali. Jadi, adalah penting untuk FC Bari memulakan projek ini secepat mungkin. Ia juga adalah medium merapatkan hubungan Malaysia dan Eropah menerusi bolasepak,” kata Paparesta.

Selain itu Paparesta turut menjelaskan bahawa terdapat cadangan untuk membawa skuad utama FC Bari mengadakan perlawanan persahabatan di Malaysia dan juga di Itali.

- Advertisement -