shahrul-saad

Oleh Muhammad Aiman

Setelah menunjukkan peningkatan positif sepanjang sesi latihan dan juga ketika pertemuan menentang Papua New Guinea pada Isnin lalu, Shahrul Saad dilihat bakal menjadi pilihan bagi mengisi posisi getir di jantung pertahanan di Piala AFF Suzuki yang bermula Ahad ini.

Pertahanan Perak itu digandingkan buat pertama kali bersama kapten Selangor, Shahrom Kalam untuk mengemudi barisan pertahanan ketika menentang PNG yang dimenangi Malaysia 2-1 dan gandingan itu dijangka dikekalkan Datoā€™ Ong Kim Swee pada perlawanan pembuka tirai menentang Kemboja.

Seandainya diberi kepercayaan, Shahrul yang turut boleh beraksi sebagai pemain tengah bertahan bersedia menyahut cabaran dan berjanji memberikan aksi terbaik sekaligus membuktikan Kim Swee tidak salah membuat pilihan.

ā€œSaya mahu membantu pasukan negara mara sejauh yang mungkin dalam saingan kali ini. Memang agak teruja, dalam masa sama gementar pun ada tapi saya yakin dengan tunjuk ajar dari pemain-pemain senior, semuanya akan berada dalam keadaan baik.

ā€œDan saya tidak kisah untuk diturunkan di mana-mana posisi. Saya memulakan karier sebagai pertahanan tengah dan pada musim lalu bersama Felda United saya beraksi di posisi tengah bertahan jadi saya tiada masalah di kedua-dua posisi itu namun saya tahu masih banyak ruang untuk saya terus tingkatkan prestasi,ā€ katanya.

Selain Shahrul, pilihan lain yang Kim Swee ada untuk digandingkan dengan Shahrom yang hampir pasti disenaraikan sebagai pilihan utama adalah pertahanan JDT, Fadhli Shas, kapten Kedah Khairul Helmi Johari dan pertahanan Sarawak, Ronny Harun.

Sementara itu, Shahrul yang merupakan bekas pemain Harimau Muda turut bertekad mahu membuktikan betapa program itu bukan satu kegagalan dan pemain dari skuad itu masih relevan di dalam menjadi penentu masa depan bolasepak Malaysia.

Program Harimau Muda diilhamkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 2007 namun dibubarkan pada 2015 kerana badan induk itu berpendapat program tersebut gagal di dalam menepati objektif meningkatkan kualiti dan tahap bolasepak dalam negara.

ā€œMemang ramai yang melihat Harimau Muda sebagai satu misi yang gagal, tetapi kami (bekas pemain skuad projek tersebut) akan membuktikan pemain dari skuad itulah yang akan membawa kejayaan dan gemilang buat bolasepak negara,ā€ kata Shahrul yang merupakan anggota Harimau Muda 2011 ā€“ 2015.

Ironinya, skuad Piala AFF Suzuki kali ini diperkuatkan seramai 10 bekas pemain skuad Harimau Muda, iaitu selain Shahrul, pemain lain adalah Khairul Fahmi Che Mat, Fadhli Shas, Nazirul Naim Che Hashim, Hadin Azman, Irfan Fazail, Syazwan Zainon, Ahmad Fakri Saarani, Hafizul Hakim dan Ahmad Hazwan Bakri.

- Advertisement -