tganu-wmns-hockey

Oleh Ku Mohd Lufti

Saingan hoki Malaysia bakal menampakkan satu perubahan baru apabila Terengganu bakal menghantar pasukan wanita untuk bersaing di liga hoki Malaysia (MHL) yang akan bermula Januari tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan SUmber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat mengesahkan, kerajaan negeri bersetuju untuk menghantar pasukan wanita untuk memberi peluang kepada pemain bagi menunjukkan bakat masing masing.

“Ini merupakan sejarah buat pasukan hoki wanita di negeri ini yang mana pemainnya telah kita pilih dan untuk permulaan kita akan pertaruhkan pemain anak tempatan iaitu atlet lepasan Sekolah Sukan Terengganu dan atlet Sukan Malaysia (Sukma).

“Kita juga menyasarkan untuk berada di empat pasukan teratas dalam liga dan kita berharap atlet pasukan ini akan menunjukkan kehebatan masing-masing dan membuktikan keupayaan mereka untuk bersaing dengan pasukan lain,” katanya.

Katanya lagi, peruntukkan daripada Tabung Sukan Negeri akan digunakan untuk menampung kos persiapan skuad hoki wanita berkenaan.

Tabung tersebut dikhususkan bagi menampung perbelanjaan empat sukan teras utama negeri Terengganu iaitu berbasikal, bola sepak, acara berkuda dan hoki.

“Kita juga nak ucapkan terima kasih kepada penyumbang-penyumbang Tabung Sukan Negeri yang mana tahun ini kita berjaya mengumpul sebanyak RM35 juta berbanding RM23 juta tahun lalu,” katanya lagi.

- Advertisement -