Selepas tertunda setahun, Anugerah 100PLUS Perpaduan SAM kini kembali dianjurkan pada 6 September nanti.

Penundaan tersebut berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) sepanjang tahun lalu ekoran penularan pandemik Covid 19.

Majlis tahunan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) itu kembali lebih menarik tahun ini kerana buat julung kalinya ia menggabungan 2 edisi iaitu untuk anugerah tahun 2020 dan 2021.

Seperti biasa, penyertaan untuk anugerah kewartawanan sukan tetap mendapat sambutan luar biasa yang menyaksikan lebih 150 penyertaan diterima daripada ahli-ahlinya.

Untuk majlis tahun ini, sejumlah 17 anugerah kewartawanan bakal diberikan iaitu 8 kategori untuk tahun 2020 dan 8 untuk tahun 2021 serta satu penghargaan tertinggi iaitu Anugerah Siebel.

Agenda tahunan dalam kalendar aktiviti SAM ini adalah untuk memberi pengiktirafan terhadap karya para ahlinya, khususnya dalam kalangan wartawan, jurufoto serta jurukamera sukan.

Turut diperkenalkan pada edisi kali ini adalah 2 kategori baharu iaitu Anugerah kewartawanan sukan Perpaduan dan Foto Perpaduan.

SAM mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Perpaduan Negara yang sudi tampil sebagai rakan baharu SAM untuk anugerah ini dan pihak persatuan berharap agar kerjasama ini berterusan dalam misi untuk sama-sama mempromosikan perpaduan menerusi sukan.

Majlis ini akan berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya dan bakal dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

- Advertisement -