
Saingan hari kedua Sukan Orang Pekak Malaysia ke-22 (SOPMA XXII) 2025 di Kuching menyaksikan aksi penuh bertenaga dengan rekod baru tercipta dalam acara 100 meter lelaki dan wanita, serta dalam acara 4×100 meter berganti-ganti dan lompat jauh.
Saingan 100 meter lelaki meyaksikan jaguh pecut Wilayah Persekutuan Muhammad Zamir Azman mengungguli saingan dengan catatan masa 11.17 saat, sekali gus memadam rekod lama milik Ali Uwais Redzuan dari Sabah yang terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa (11.24s).
Pelari Perlis, Hazrul Shah Hamri, pula meraih perak dengan catatan 11.20s dalam saingan yang cukup sengit.
Acara 100 meter wanita turut menyaksikan keunggulan Nur Andrina Zainudin dari Kedah yang mengesahkan statusnya sebagai wanita Pekak terpantas negara. Beliau memecahkan rekod SOPMA miliknya sendiri dengan catatan masa 13.40 saat.
Atlet Sabah, Steffy Stacy Lakim, meraih perak (13.80s), manakala wakil Johor, Sheshasiny Satyaanandha Rao, membawa pulang gangsa (14.31s).
Sabah terus mengukuhkan dominasi dalam acara jarak pertengahan dengan Azlan Kuste menjuarai acara 800 meter lelaki dengan catatan rekod baharu SOPMA 2minit:02.88.
Rakan sepasukan, Aidil A. Asyraff Juakim, menuruti kejayaan Azlan dengan pingat perak (2:04.43) diikuti pelari Perak Chua Chee Kiang (2:08.37).
Azlan meraih emas kedua hari ini menerusi acara 5000 meter lelaki dengan masa 17:19.15s.
Sorakan penyokong tuan rumah bergema apabila Qasih Amani Anisa Mahsin menghadiahkan emas buat Sarawak dalam acara 800 meter wanita (2:59.70), mengetepikan Nurul Naziha Muhammad Afif dari Pulau Pinang (3:00.53) dan Elsie Ellissa Noraimin dari Sabah (3:02.81).
Kuartet 4×100 meter wanita Kedah yang dibarisi Nur Amiratul Syazliana Mohd, Nur Amni Fudzla Zakuan, Nur Andrina Zainudin dan Nur Damia Mohamad Yusoff turut melakar sejarah dengan catatan rekod baharu SOPMA, 56.72s. Sabah menduduki tempat kedua (57.32s), manakala Johor di tempat ketiga (57.95s).
Dalam acara 4×100 meter lelaki, pasukan Perlis yang dibarisi adik-beradik Hazraf Shah dan Hazrul Shah Hamri, bersama Muhammad Sharul Azmer Azman dan Zaiman Megat, turut mencipta rekod baharu SOPMA dengan masa 44.79s. Sabah meraih perak (45.44s), manakala Wilayah Persekutuan membawa pulang gangsa (46.04s).
Atlet Sabah, Steffy Stacy Lakim kembali mencuri tumpuan apabila memecahkan rekod lompat jauh wanita dengan catatan 4.89 meter (+0.15), menewaskan Nur Andrina Zainudin dari Kedah (4.81m) dan Sheshasiny Satyaanandha Rao dari Johor (4.72m).
Muhammad Sharul Azmer Azman dari Perlis pula mengetepikan cabaran pesaing apabila menjuarai 400 meter berpagar lelaki dengan masa 59.74s.
Dalam saingan padang, atlet rejam lembing wanita Melaka Maria Melissa Mohd Mohtiar memastikan emas milik beliau dengan rejaman sejauh 24.52 meter.
Sabah turut menambah satu lagi emas dalam acara padang menerusi Elviensoon Tiono Tinus yang menjuarai lontar peluru lelaki dengan jarak 9.83 meter, sekali gus menambah koleksi pingat negeri itu.
Di gelanggang tenpin boling, pasangan Wilayah Persekutuan Syabil-Azam Syamsul-Azam dan Chua Hock Seng menjuarai acara beregu lelaki, mengetepikan pasangan Selangor Noor Aizad Noor Azmi dan Ahmad Zainurin Ahmad Jallani di tempat kedua.
Bagi kategori beregu wanita, Masrumi Juri dan Irene L. Gubud menghasilkan emas emas buat kontinjen Sabah.
Sementara itu, acara orienteering jarak pecut (Sprint Distance Orienteering) menyaksikan atlet Kelantan Muhammad Haikal Mat Yusoffmuncul juara kategori lelaki dengan catatan masa 24 minit 31.4 saat, manakala wakil Wilayah Persekutuan Nik Farena Camylia Nik Othman Afifee mengungguli kategori wanita dengan masa 25 minit 37.5 saat, sekali gus menghadiahkan emas pertama buat kontinjen masing-masing dalam acara tersebut.
Saingan Hari Ketiga akan diteruskan esok dengan 16 pingat emas menjadi rebutan dalam acara olahraga, boling tenpin dan orienteering. SOPMA XXII menghimpunkan lebih 800 atlet, pegawai dan sukarelawan dari seluruh negara yang bersaing dalam lima acara teras â olahraga, badminton, futsal, boling tenpin dan orienteering.




























