
Raisha Adelia Binti Rezza meneruskan rentetan kemenangannya sejak tahun 2025 dengan merangkul dua lagi gelaran Pusingan Kelayakan pada Kejohanan Badminton Remaja Allianz (AJBC) 2026 Pusingan Kelayakan 6 di Sarawak baru-baru ini.
Remaja berusia 12 tahun itu, yang menjuarai kategori perseorangan perempuan bawah 11 tahun di Kuching tahun lalu, menambah dua lagi pingat emas di Miri. Raisha Adelia, dari SK Samarahan Estate, Sarawak, muncul juara dalam acara perseorangan dan beregu kategori perempuan bawah 13 tahun. Dalam acara beregu, beliau bergandingan dengan Samantha Tsin Rou Yii dari SMK DPHA Gapor, Sarawak.
âMenjuarai kategori bawah 13 tahun sememangnya menjadi sasaran saya selepas memenangi gelaran bawah 11 tahun tahun lalu,â kata Raisha Adelia, yang muncul naib juara dalam acara beregu perempuan bawah 13 tahun pada tahun 2025. âSaya pasti berpeluang beraksi sekali lagi di peringkat akhir tahun ini, dan itu sesuatu yang amat saya nantikan. Saya tahu tahap persaingan yang diperlukan di peringkat akhir, jadi persiapan awal sangat penting.â
Beliau mula diperkenalkan kepada sukan badminton oleh datuknya ketika berusia lapan tahun. Hanya dua tahun selepas menerima latihan formal di G Force BA, Serian, Raisha Adelia berjaya menempatkan diri sebagai pemain negeri Sarawak.
âSaya percaya saya berada di landasan yang tepat untuk merealisasikan impian saya menjadi juara dunia,â tambah beliau. âBuat masa ini, saya bertanding dalam kedua-dua acara perseorangan dan beregu. Saya masih belum membuat keputusan sama ada untuk memberi tumpuan yang lebih kepada salah satu daripada kedua-dua acara tersebut.â
Dalam kategori Perempuan Bawah 15 Tahun, Rosella Tania Anak Rant@Rantie dari SMK Dato Permaisuri, Miri, Sarawak turut mencipta kejayaan berganda. Selepas menjuarai acara perseorangan, beliau kemudian bergandingan dengan Aizalea Izzara Binti Kamarulzaman dari SMK Three Rivers, Mukah, Sarawak untuk meraih gelaran juara acara beregu.
Darrick Ong Shang How dari SMK Kuching High, Sarawak merupakan seorang lagi pemain yang mendominasi kategori Lelaki Bawah 15 Tahun. Darrick mencatat kemenangan meyakinkan dalam acara perseorangan sebelum bergandingan dengan Eldrin Tan Ka Fei dari SMK Green Road, Sarawak untuk merangkul gelaran juara acara beregu.
Sementara itu, Danice Tchin Mao Quan dari Chung Hua Middle School No. 3, Sarawak turut membawa pulang dua gelaran apabila muncul juara dalam acara perseorangan lelaki bawah 13 tahun sebelum bergandingan dengan Ezra Liau Jih Loch dari SMK Chung Hua, Miri, Sarawak untuk menjuarai acara beregu lelaki bawah 13 tahun.
AJBC Edisi kelima dianjurkan oleh Allianz Malaysia Berhad dengan sokongan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Dalam tempoh hanya lima tahun, AJBC, yang tidak mengenakan sebarang yuran penyertaan kepada para pemain, telah muncul sebagai antara kejohanan badminton remaja paling popular dan dinanti-nantikan di negara ini. Tahun ini, AJBC menampilkan keseluruhan 10 pusingan kelayakan diikuti dengan Peringkat Akhir (Grand Finals) di Kuala Lumpur.
































