Bekas pemain hoki wanita negara, A Kannagi dipilih Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk menggalas tugas selaku pengendali pasukan Young Tigress yang akan membuat penampilan sulung dalam saingan TNB Liga Hoki Malaysia (LHM) 2021.

Perkara tersebut diumumkan Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal yang meilhat pemilihan Kannagi adalah berdasarkan pengalaman beliau dalam bidang kejurulatihan sejak 2013 dan kebolehannya untuk memberi nafas baharu bagi pihaknya dalam proses pencarian bakat pemain dan jurulatih serta memperkasakan jurulatih wanita.

Ypung Tigress bukan pasukan berkonsepkan skuad kebangsaan wanita seperti yang dipimpin Nashin Nubli, tetapi memberi peluang kepada pemain berpotensi.

“Kita mengenal pasti banyak bakat muda, tetapi hanya 30 pemain dapat diserapkan dalam skuad kebangsaan. Pasukan wanita kita menduduki tempat ke-20 dunia, tetapi boleh jadi lebih baik daripada itu, jadi nak beri pendedahan kepada lebih ramai pemain muda.

“Ini bukan pasukan one-off, kita akan cuba beri pendedahan lain seperti peluang untuk ke kejohanan antarabangsa dan latihan bersama skuad kebangsaan. Tetapi keputusan itu kita serah kepada Nasihin dan Pengarah Teknikal KHM Paul Revington,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kannagi akan dibantu dua penolong jurulatih, Roshin Nordin dan Mohamad Sabri Mohamad, manakala Mohammad Nazrin Yahya dilantik sebagai pengurus pasukan itu, dan ini kali pertama KHM membariskan skuad pembangunan sejak LHM Wanita dimulakan pada 2015.

Selain Young Tigress, akan bersaing dengan lima lagi pasukan;  PKS Uniten-KPT, PDRM Blue Warriors, Sabah, Mutiara Impian-MSSPP-PSHA dan UniKL Ladies dalam saingan TNB Liga Hoki Malaysia Wanita yang dijadual bermula dari 14 Januari hingga 20 Februari.

Kannagi dalam pada itu menjelaskan 24 pemain telah dikenal pasti berusia diantara 18 hingga 22 tahun berdasarkan prestasi ketika dikejohanan Piala Tun Abdul Razak dan Sukan Malaysia (SUKMA) yang lepas.

“Kami juga akan membariskan lima pemain dari skuad kebangsaan dan tiga pemain senior berusia lebih 22 tahun sebagai pembakar semangat kepada pemain muda ini. Kita pilih pemain yang kita nampak ada potensi untuk wakili negara tetapi tidak dipanggil.

“Jadi ini masanya untuk mereka membuktikan kebolehan mereka dalam kejohanan utama. Sasaran kami ialah untuk membaiki prestasi dari satu perlawanan ke satu perlawanan dan tidak memberikan laluan mudah kepada pasukan lawan,” katanya.

Kannagi pernah beraksi untuk skuad Malaysian Tigress dari 1997 hingga 2012 di peringkat Sukan Asia dan Komanwel, menceburi bidang kejurulatihan selepas persaraannya, selain turut berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Titiwangsa.

- Advertisement -