afrita (1)
Afrita
afrita (2)
Afrita bersama antara gimnas cilik yang berlatih di bawah bimbingannya di kelab gimnas miliknya, Gymday Studio

Oleh Muhammad Aiman

Minggu lalu, Wilayah Persekutuan (KL) mengekalkan dominasi mereka selaku kuasa utama sukan gimrama di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak apabila menyapu bersih kesemua lima pingat emas yang dipertandingkan di Stadium Majlis Perbandaran Kuching Selatan – empat menerusi acara individu dan satu berpasukan.

Di sebalik kejayaan pasukan gimrama KL yang tidak pernah ketandusan bakat-bakat cilik untuk diketengahkan dan menyerlah di pentas SUKMA, adalah ketua jurulatihnya Afrita Ariany Nasril yang juga bekas atlet kebangsaan.

Afrita berkongsi rasa gembiranya bersama Sports247 dan mendedahkan disiplin serta perancangan jangka panjang yang tersusun adalah resipi kejayaan pasukannya sekali lagi di dalam mengungguli SUKMA kali ini.  

‘Saya gembira dan kagum mereka menepati ekspetasi, atlet-atlet ini adalah pelapis kebangsaan jadi memang prospek emas dan sedikit memberi kelebihan kepada mereka. Mereka menggunakan sebaik mungkin pengalaman dan pendedahan yang diperoleh selama ini untuk menunjukkan satu aksi yang cukup bagus.

“Di Kuala Lumpur kita sebenarnya ada ramai gimnas, dan kita sudahpun ada tiga lapisan gimnas yang boleh membawa cabaran KL di dua SUKMA akan datang. Untuk makluman, latihan bagi SUKMA yang akan datang juga telahpun bermula sekarang, mereka menunjukkan kesungguhan dan kerja keras untuk sentiasa menjadi yang terbaik.

“Kita mempunyai kelompok gimnas yang ramai, kita menghantar mereka untuk sertai sirkit, karnival, pertandingan peringkat remaja dan pertandingan-pertandingan pendedahan mewakili kelab agar mereka menimba ilmu dan kebanyakan mereka juga kemudiannya diserap ke skuad kebangsaan,” ujar Afrita yang berpengalaman 16 tahun di dalam bidang kejurulatihan.

Untuk rekod, Afrita sudah empat tahun membimbing gimnas KL dan dia yang dianugerahkan gelaran jurulatih terbaik di China pada awal bulan ini turut pernah menyumbang khidmat bersama Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak.

Di Kuching tempoh hari, sukan gimrama adalah antara yang terawal melabuhkan tirai di SUKMA pada 20 Julai lalu.

Emas pertama gimrama buat pasukan Wilayah Persekutuan hadir menerusi acara berpasukan apabila gandingan Tammy Ng, Nur Naieme Zainul Ariffin, Rayna Hoh cemerlang mengumpul 142.80 mata untuk mengekalkan emas yang dimenangi di SUKMA Perlis dua tahun lalu.

Ia kemudiannya dituruti emas acara individu menerusi Rayna yang mengungguli disiplin tali, sebelum Tammy menambah dua emas dengan mengungguli disiplin bola dan gelung, dan Nur Naieme menutup tirai dengan penuh bergaya apabila menebus hampa dalam tiga disiplin terdahulu untuk meraih emas disiplin belantan.

“Selepas ini atlet-atlet ini akan tumpukan pula pada kejohanan yang lebih kompetitif, antaranya Piala Aeon di Tokyo pada Oktober, dan kemudiannya kejuaraan dunia,” tambah Afrita. 

- Advertisement -