aidil.zaquan
Aidil

Oleh Muhammad Aiman

Kurang lima bulan sebelum berlangsung Piala AFF Suzuki 2016, pasukan kebangsaan menerima kejutan besar apabila dua pemain tonggak Aidil Zafuan Abdul Radzak dan ketua pasukan Safiq Rahim mengumumkan persaraan dari arena antarabangsa.

Menjelaskan keputusan tersebut yang diumumkan melalui Johor Southern Tigers – laman sosial rasmi Johor Darul Takzim (pasukan diwakili dua pemain itu) – Aidil dan Safiq berpendapat masanya sudah tiba untuk mereka memberi laluan kepada pemain lebih muda setelah menyarung jersi kebangsaan selama sembilan tahun bermula 2007.

Menurut Aidil yang mempunyai 68 kap antarabangsa dan pernah mencuri tumpuan menerusi gol sepakan percuma jarak jauh ketika menewaskan Taiwan 2-1 dalam kelayakan Piala Dunia 2014 pada Julai 2011, “Saya cukup berbesar hati dapat membantu pasukan negara sepanjang sembilan tahun ini.

“Beberapa kejayaan manis yang tidak mungkin saya lupakan antaranya menang emas Sukan Sea 2009 selepas kemarau 20 tahun, beraksi di kelayakan AFC B-20, kelayakan Sukan Olimpik 2008, Piala Dunia 2014 dan banyak lagi perlawanan penting lain.”

Manakala Safiq yang merupakan penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki 2014 pula berkata, “Pencapaian-pencapaian yang pernah saya raih termasuk Sukan Sea 2009 dan Piala AFF Suzuki 2010 pastinya mampu menjadi pemangkin kepada pemain generasi baru untuk memberikan keputusan dan idea yang lebih positif buat skuad negara.

“Saya ambil kesempatan ini untuk ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang menyokong kerjaya saya bersama pasukan kebangsaan.”

Ironinya, keputusan kedua-dua pemain itu hadir hanya sehari selepas Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pemilik Johor Darul Takzim – pasukan diwakili dua pemain itu – membidas jadual latihan skuad Harimau Malaysia yang menyebabkan lima pemain pasukan itu mengalami kecederaan sebaik pulang dari Jelajah Oceania baru-baru ini.

Walaupun pengumuman persaraan Aidil dan Safiq mungkin tidak sehebat pengunduran Lionel Messi dari skuad Argentina selepas kegagalan menjulang Copa America baru-baru ini, namun apa yang pasti ia bakal memeningkan kepala pengendali, Dato’ Ong Kim Swee tatkala dia semakin kesuntukan masa untuk membentuk semula skuadnya. 

Kim Swee sudahpun membayangkan hasrat mengandingkan Aidil dan kapten Selangor, Shahrom Kalam di jantung pertahanan skuad negara ketika di Oceania namun dengan ketiadaan bekas pertahanan Negeri Sembilan itu, jurulatih berusia 55 tahun itu perlu segera melihat kepada alternatif lain.

Dia kini hanya mempunyai seorang lagi pertahanan JDT, Fadhli Shas sebagai pemain pertahanan tengah tulen, namun Junior Eldstal (juga JDT) dan pertahanan Melaka, Khair Jefri Jones telahpun membuktikan mereka juga boleh beraksi di posisi itu bersama pasukan kelab masing-masing.

Andai pengalaman menjadi pertaruhan, Kim Swee boleh memanggil semula pertahanan veteran Selangor, Razman Roslan serta pemain Kelantan Muslim Ahmad, selain bekas pertahanan Harimau Muda, Shahrul Saad yang kini beraksi bersama Perak.

Manakala beberapa pilihan yang ada untuk mengisi tempat Safiq yang sudahpun mengukuhkan reputasinya selaku perancang utama pasukan sejak beberapa tahun kebelakangan, antaranya dua tonggak Kedah iaitu Baddrol Bakhtiar dan Amirul Hisyam Awang Kechik, dua rakan sepasukannya di JDT – Amirulhadi Zainal dan Gary Steven Robbat serta tonggak Felda United, Hadin Azman.

Begitupun, gambaran lebih jelas hanya akan dapat dilihat seandainya tidak ada pemain JDT yang lain mengikut jejak Aidil dan Safiq untuk turut sama berundur dari skuad kebangsaan dalam tempoh masa terdekat.

- Advertisement -