Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak hanya mahu menumpukan misi memburu tiga mata terakhir dalam saingan Liga Super musim 2020 dan enggan memikirkan soal masa depannya bersama kelab itu.

Kedah akan menentang Perak di gelanggang lawan pada Sabtu yang merupakan perlawanan terakhir bagi saingan Liga Malaysia musim 2020.

Pengendali kelahiran Singapura ini lebih mementingkan kemenangan di Ipoh kerana ia akan menjamin kedudukan Kedah untuk beraksi dikelayakan Piala AFC 2021.

Selepas 10 perlawanan, Kedah menghuni tangga kedua dengan 19 mata, hanya satu mata dibezakan dengan Perak yang menghuni tangga ketiga.

Justeru, Kedah memerlukan kemenangan untuk memastikan slot kelayakan Piala AFC 2021 menjadi milik mereka.

Meskipun dipalit dengan kesukaran termasuk tunggakan gaji, Aidil tidak melihat situasi itu sebagai sesuatu yang mengecewakannya malah optimis pengurusan Kedah mampu untuk menyelesaikan sebarang kekalutan dengan baik.

Kedah mengukuhkan kedudukan dibelakang juara Liga Super tujuh kali berturut turut, Johor Darul Takzim selepas melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Melaka United.

 

 

 

- Advertisement -